0

Cerita Selepas Sebulan.... [cont'd]

Mungkin ramai yang tidak perasan akan kebetulan yang tiba-tiba menjelma dibenak penulis baru-baru ini iaitu kesamaan yang wujud diantara Asyraf Haziq yang entrinya ditulis beberapa hari yang lepas dengan seorang lagi hamba Allah yang telahpun dijemput oleh Maha Penciptanya, Asyraf Hafiz hujung bulan lalu. Kesamaan mereka adalah nama mereka yang kebetulan hampir sama dan mereka juga berkongsi satu kisah duka dalam hidup mereka. Cuma di dalam satu keadaan dan situasi yang berbeza, latar masa dan tempat yang jauh bezanya dan individu yang sangat berbeza.

Wajah Asyraf Hafiz sebelum menghembus nafasnya yang terakhir pada 30 Julai lalu.

Sebulan yang lalu pada 18 Julai, Asyraf Hafiz telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu  untuk menukar namanya kepada nama wanita iaitu Aleesya Farhana Abdul Aziz setelah membuat pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun yang lalu tetapi permohonan itu telah ditolak oleh mahkamah setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman. Tujuan Asyraf Hafiz @ Aleesya Farhana adalah untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan memudahkannya untuk melakukan urusan penting seperti memohon pinjaman bank, menyambung pelajaran dan sebagainya. 

Dari rauh wajah dan rupa parasnya tidak ubah seperti seorang muslimah yang cantik. Masyarakat kita sendiri sentiasa mempunyai tanggapan awal tentang sesuatu jadi mungkin ada yang akan mengatakan: 

"Cantik sungguh perempuan tu, mesti baik budi pekertinya." 
"Yelah, Setanding dengan rupa parasnya yang menawan." 

Di sebalik keindahan ciptaan Allah itu tersembunyi satu rahsia yang tuan empunya badan dan Allah S.W.T yang tahu. Tindakan Asyraf Hafiz itu secara tidak langsung membuka mata banyak pihak dan mula membincangkan penyelesaiain yang berkesan untuk membendung masalah jiwa yang membelenggu kebanyakan lelaki yang mengalami kecelaruan jantina ini. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui menterinya iaitu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan hasrat untuk membantu dan membimbing Asyraf Hafiz untuk menangani masalah yang dihadapinya. 

Melalui pembacaan penulis menerusi Harian Metro, selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Asyraf Hafiz menyatakan hasrat untuk terus menfailkan permohonan sehingga mendapat kelulusan. Penulis sangat kagum dengan semangat dan kental jiwanya untuk meneruskan kebelangsungan hidupnya dengan tenang dan aman. Cuma yang menyentuh nurani hati penulis adalah apabila masyrakat mudah menghukumnya dan menghinanya untuk mendapatkan hidup yang sempurna seperti yang diinginkannya. Lebih memilukan apabila ada yang menyatakan lebih baik Asyraf Hafiz mati, sama seperti hasrat dan niat Asyraf Hafiz sendiri jika permohonannya tidak diluluskan jika ia mengambil masa berkurun-kurun lamanya.

Hujung bulan Julai lalu, Asyraf Hafiz meninggal dunia kerana masalah jantung dan tekanan darah rendah selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu pada jam 5 pagi. Doktor mengesahkan Asyraf Hafiz mengalami masalah serangan jantung yang tidak stabil. Jenazah allahyarham juga selamat dikebumikan selepas waktu Zohor hari yang sama. Asyraf Hafiz dikebumikan sebagai muslimin.

Entri ini ditulis bukanlah untuk mengaibkan si arwah atau keluarganya tetapi bertujuan memberi iktibar dan juga memberi gambaran apa yang sepatutnya dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk ibubapa, rakan sebaya, sekolah, kerajaan atau badan bukan kerajaan dan yang lebih penting adalah masyarakat yang tidak semena-mena menjatuhkan hukum kepada manusia lain. Hukuman itu biar yang Maha Kuasa yang tentukan. Tindakan yang diambil oleh Asyraf Hafiz sememang drastik. Mungkin Asyraf Hafiz sudah memikirkan kesan dari tindakannya dan tidak ambil kisah dengan apa yang bakal berlaku. Mungkin juga Asyraf Hafiz sudah tahu yang dia bakal meninggalkan insan-insan yang tersayang jadi tidak salah dia mencuba. Wallahu a'lam.

Akhir sekali jangan lupa, sedekahkanlah Al-Fatihah kepada Asyraf Hafiz agar dapat diberi keampunan oleh Yang Esa dan ditempatkan ditempat yang mulia disisiNya. Nantikan sambungan entri yang berikutnya akan datang.
0

Cerita Selepas Seminggu....

Menitip dada-dada akhbar atau juga di kalam para blogger sejak kebelakangan ini kita banyak disajikan dengan cerita tentang seorang remaja Malaysia, Asyraf Haziq yang tiba-tiba menjadi selebriti antarabangsa dek kerana kejadian yang menimpa dirinya. Dihambat dan dirompak oleh sekumpulan remaja Britain di Barking, Timur London ketika sedang menuju ke rumah rakannya untuk berbuka puasa. Kejadian itu telah mengakibatkan tulang rahangnya dan gigi Asyraf Haziq patah. Semua itu diketahui hanya dengan melalui satu paparan video yang telah dirakam secara tidak segara oleh penduduk di Barking dan telah disaksikan oleh 20 juta orang di seluruh dunia di mana ditayangkan di YouTube, laman sosial seperti Facebook, Tumblr dan juga disebarkan oleh blogger-blogger yang prihatin. Menyaksikan betapa hebatnya kuasa media sosial pada zaman ini.


Dan kini kejadian itu telah menjadi sejarah dan sudah seminggu pun berlalu. Asyraf Haziq juga sudah selamat menjalani pembedahan pada Rabu selepas serangan yang berlaku pada Isnin lalu dan dibenarkan keluar dari Royal London Hospital, Chelsea pada pagi Khamis berikutnya. Lantaran itu banyak pihak yang ingin dan telah menghulurkan bantuan. Melalui pembacaan penulis melalui akhbar News Straits Times [NST] dan juga melalui blog kelmarin, ada pihak yang membantu dengan menyumbangkan basikal yang dirompak kepada Asyraf Haziq. Namun ia ditolak secara baik olehnya. Katanya,

"Tidak, Tidak mahu basikal lagi. Saya lebih rela menaiki bas mulai dari sekarang."

Pengarah Pemasaran PlayStation UK pula, berjanji untuk menyumbang PSP yang juga dicuri kepada Asyraf Haziq. Antara sumbangan yang amat menarik perhatian penulis pula adalah perkhidmatan yang ditawarkan oleh doktor gigi dari Sepanyol yang menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada Asyraf Haziq. Dan tentunya yang lebih membanggakan adalah kempen untuk mengumpul dana yang dijalankan di Internet iaitu kempen 'Let's do something nice for Asyraf Haziq' (+others) , yang diketuai oleh Jaimie Cowen, rakyat Britain yang prihatin dengan nasib yang menimpa Asyraf Haziq. Kempen itu sudah pun ditutup Jumaat lepas dengan hasil kutipan mencecah RM98,000  (£ 20,000) dan kata Cowen kemungkinan ada lagi sumbangan yang akan diterima.

Melalui paparan video itu, wakil media dari seluruh dunia berebut-rebut ingin merapati Asyraf Haziq untuk mendapatkan maklumat eksklusif tentang isu terhangat ketika ini. Sehubungan dengan itu, sidang media juga telah dilakukan selepas Asyraf Haziq dibenarkan keluar dari hospital. Lebih membanggakan penulis dan mungkin juga rakyat Malaysia adalah pelajar tajaan MARA dalam bidang Perakaunan itu menunjukkan jati diri yang sangat tinggi dan juga seorang muslim yang berjiwa mulia. Semalam semasa penulis menonton program Assalamualaikum di TV AlHijrah, penyampai program itu mengelarkan Asyraf Haziq sebagai Tarbiah Malaysia.  Itu adalah gara-gara kerana kata seorang jururawat di Royal London Hospital yang merasakan Asyraf Haziq seorang yang sangat matang sehingga sanggup memaafkan remaja yang menyerangnye Isnin lalu. Pada masa sama, Reece Donovan, seorang remaja awal 20-an dari Romford, sebuah bandar di timur Barking yang merompak Asyraf Haziq telah ditahan oleh Polis Metropolitan.

Ketika entri ini ditulis ibubapa dan adik Asyraf Haziq sudah pun tiba dan berada di London untuk melihat keadaan anak sulung mereka dengan bantuan tajaan dari UMNO sebanyak RM20,000 bagi menampung perjalanan ke London .

Menarik juga: Asyraf Haziq Jadi Popular di Malaysia, Britain dan di Seluruh Dunia tentang isu yang sama. Nantikan sambungan entri ini.


0

Nuansa Metafora

Bila bercerita ada sahaja yang akan menjerut makna yang tersirat.

 Sakit hati. Geram. Tidak puas hati. 

Semuanya bagai dililit-lilit supaya rasa yang tercipta, kekal menjadi luka dan nanah........
0

Kutitipkan Doa Buat Insan Terpilih

Tersangat cemburu bila melihat blogger yang lain mampu mengumpul puluhan ribu follower. Lagi pula itu adalah kerana kegigihan mereka sentiasa mengemaskini laman blog mereka dengan pelbagai kisah, pelbagai cerita yang mahu di kongsi bersama follower masing-masing. Sama ada rutin harian, pendapat dan pandangan tentang fesyen, kesihatan dan sebagainya, tentang minat dan hobi masing-masing, tentang isu semasa, tentang apa sahaja yang mempunyai sense of value untuk di kongsi bersama.

Semalam penulis tertarik dengan satu blog yang dipaparkan di dalam Malaysia Hari Ini, TV3  iaitu blog yang memaparkan tentang keluarga yang di uji oleh Yang Esa.
Harap En. Talib dan Puan Norma serta keluarga terus tabah menghadapi ujian. Kami seluruh rakyat Malaysia yang menonton MHI semalam akan terus mendoakan kesejahteraan ke atas keluarga En Talib dan Puan Norma. Ketika menonton semalam membuatkan hati penulis diterjah hiba sambil video Puan Norma di hospital dan juga gambar-gambar si comel Rafik dimainkan di kaca TV.
Dengan tersebarnya kisah cinta dua insan yang di uji oleh Yang Maha Esa ini, maka akan tersebarlah doa dari ribuan rakyat Malaysia yang berkongsi rasa simpati serta sedih dan kerana berpijaknya kita di bumi yang sama maka seluruh rakyat akan membantu semampunya bagi meringankan bebanan En Talib dan Puan Norma sekeluarga.
Puan Norma yang sedang terlantar
Mahu cerita selanjutnya boleh kunjungi url yang disertakan di atas.
0

Kalam Sastera Pujangga

Salam Ramadan!

Rasanya masih sempat untuk penulis mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa ketika ini. Memang benar lama rasanya tidak menjengah ke laman blog ini dan menitip sesuatu yang baru. Biasanya penulis memang mempunyai idea untuk dikongsi tetapi tidak sempat untuk dinukilkan ke kalam ini. Cuba untuk menjadi penulis blogger tegar tetapi ada kekangan yang menghalang.


Entri kali mungkin ringkas sahaja, sekadar menulis untuk menuar-uarkan tentang idea kepada sesuatu yang menjadi kecintaan penulis juga. PENULISAN SASTERA. Idea dan konsepnya untuk membuka satu lagi blog seumpamanya. Segala penulisan cerpen yang telah atau akan diterbitkan di mana-mana media cetak akan penulis rangkumkan ke dalam blog ini untuk di kongsi bersama.

Bukan cerpen tentang cinta semata-mata ataupun juga cerpen picisan tetapi cerpen yang sarat dengan makna tersirat dan padat dengan nilai estetika sastera. 



 
Copyright © Kalam Si Pujangga