Cerita Selepas Sebulan.... [cont'd]

Mungkin ramai yang tidak perasan akan kebetulan yang tiba-tiba menjelma dibenak penulis baru-baru ini iaitu kesamaan yang wujud diantara Asyraf Haziq yang entrinya ditulis beberapa hari yang lepas dengan seorang lagi hamba Allah yang telahpun dijemput oleh Maha Penciptanya, Asyraf Hafiz hujung bulan lalu. Kesamaan mereka adalah nama mereka yang kebetulan hampir sama dan mereka juga berkongsi satu kisah duka dalam hidup mereka. Cuma di dalam satu keadaan dan situasi yang berbeza, latar masa dan tempat yang jauh bezanya dan individu yang sangat berbeza.

Wajah Asyraf Hafiz sebelum menghembus nafasnya yang terakhir pada 30 Julai lalu.

Sebulan yang lalu pada 18 Julai, Asyraf Hafiz telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu  untuk menukar namanya kepada nama wanita iaitu Aleesya Farhana Abdul Aziz setelah membuat pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun yang lalu tetapi permohonan itu telah ditolak oleh mahkamah setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman. Tujuan Asyraf Hafiz @ Aleesya Farhana adalah untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan memudahkannya untuk melakukan urusan penting seperti memohon pinjaman bank, menyambung pelajaran dan sebagainya. 

Dari rauh wajah dan rupa parasnya tidak ubah seperti seorang muslimah yang cantik. Masyarakat kita sendiri sentiasa mempunyai tanggapan awal tentang sesuatu jadi mungkin ada yang akan mengatakan: 

"Cantik sungguh perempuan tu, mesti baik budi pekertinya." 
"Yelah, Setanding dengan rupa parasnya yang menawan." 

Di sebalik keindahan ciptaan Allah itu tersembunyi satu rahsia yang tuan empunya badan dan Allah S.W.T yang tahu. Tindakan Asyraf Hafiz itu secara tidak langsung membuka mata banyak pihak dan mula membincangkan penyelesaiain yang berkesan untuk membendung masalah jiwa yang membelenggu kebanyakan lelaki yang mengalami kecelaruan jantina ini. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui menterinya iaitu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan hasrat untuk membantu dan membimbing Asyraf Hafiz untuk menangani masalah yang dihadapinya. 

Melalui pembacaan penulis menerusi Harian Metro, selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Asyraf Hafiz menyatakan hasrat untuk terus menfailkan permohonan sehingga mendapat kelulusan. Penulis sangat kagum dengan semangat dan kental jiwanya untuk meneruskan kebelangsungan hidupnya dengan tenang dan aman. Cuma yang menyentuh nurani hati penulis adalah apabila masyrakat mudah menghukumnya dan menghinanya untuk mendapatkan hidup yang sempurna seperti yang diinginkannya. Lebih memilukan apabila ada yang menyatakan lebih baik Asyraf Hafiz mati, sama seperti hasrat dan niat Asyraf Hafiz sendiri jika permohonannya tidak diluluskan jika ia mengambil masa berkurun-kurun lamanya.

Hujung bulan Julai lalu, Asyraf Hafiz meninggal dunia kerana masalah jantung dan tekanan darah rendah selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu pada jam 5 pagi. Doktor mengesahkan Asyraf Hafiz mengalami masalah serangan jantung yang tidak stabil. Jenazah allahyarham juga selamat dikebumikan selepas waktu Zohor hari yang sama. Asyraf Hafiz dikebumikan sebagai muslimin.

Entri ini ditulis bukanlah untuk mengaibkan si arwah atau keluarganya tetapi bertujuan memberi iktibar dan juga memberi gambaran apa yang sepatutnya dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk ibubapa, rakan sebaya, sekolah, kerajaan atau badan bukan kerajaan dan yang lebih penting adalah masyarakat yang tidak semena-mena menjatuhkan hukum kepada manusia lain. Hukuman itu biar yang Maha Kuasa yang tentukan. Tindakan yang diambil oleh Asyraf Hafiz sememang drastik. Mungkin Asyraf Hafiz sudah memikirkan kesan dari tindakannya dan tidak ambil kisah dengan apa yang bakal berlaku. Mungkin juga Asyraf Hafiz sudah tahu yang dia bakal meninggalkan insan-insan yang tersayang jadi tidak salah dia mencuba. Wallahu a'lam.

Akhir sekali jangan lupa, sedekahkanlah Al-Fatihah kepada Asyraf Hafiz agar dapat diberi keampunan oleh Yang Esa dan ditempatkan ditempat yang mulia disisiNya. Nantikan sambungan entri yang berikutnya akan datang.

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga