Sebuah Review: Vikingdom: Live By The Sword

Minggu lalu baru sahaja berlangsung majlis pelancaran filem epik termahal yang  diterbitkan oleh KRU Studios, Vikingdom: Live By The Sword di Marriot Putrajaya, dengan kerjasama Epic Pictures, sebuah produksi filem Hollywood yang berpangkalan di Los Angeles, yang membariskan pelakon filem dan televisyen popular di Hollywood seperti Dominic Purcell (Prison Break), Natassia Malthe (Dead Or Alive), Jon Foo (Tekken), Craig Fairbrass (Cliffhanger), Conan Stevens (Game of Thrones) diarahkan oleh Yusri Abdul Halim dan ditulis oleh James Coyne.


Filem ini dihasilkan berdasarkan latar zaman pertarungan besi yang telah membawa pertembungan antara sejarah dan mitos di mana wujudlah “Vikingdom”. Filem ini berkonsepkan epik pengembaraan yang memaparkan elemen sejarah dan diselitkan mitos Viking di samping diperkayakan dengan aksi pertarungan seni dan di perindahkan dengan garapan visual efek yang menunjukkan keadaan sebenar di zaman itu. Vikingdom penuh dengan elemen teknik produksi CGI dan teknologi 3D stereoskopik, teknik yang sama digunakan dalam filem 300 dan Avatar.


Filem Vikingdom: Live By The Sword bermula dengan kemunculan kapal Viking di Lindisfarne yang diketuai oleh Thor, untuk menawan tentera purba sebagai hamba mereka. Thor mesti dihapuskan dan hanya seorang wira yang memiliki kuasa kebal yang boleh melawannya iaitu Eirick dari Jomberg. Eirick ialah seorang pemburu yang biasa dengan hidupan lasak. Berita tentang serangan Thor disampaikan oleh Frey kepada Eirick untuk menghalang Thor daripada berjumpa dengan Horns of Odin dari Gate of Souls. Frey juga meminta Eirick mengetuai angkatan tentera Jomsberg Viking untuk menentang Thor yang bersekutu dengan Trondelag Kings.

Eirick kemudian diiringi oleh teman baiknya iaitu Sven dan Yang, hamba Cina yang berikrar sanggup mati demi Eirick. Pengembaraan mereka bermula dengan pencarian Horn of Odin dan kemudiannya menentang angkatan tentera pimpinan Thor.

Semasa entri ini ditulis produksi filem ini masih lagi berlangsung dan dijangka akan tamat pada 21 Disember ini. Filem Vikingdom: Live By The Sword yang bakal ditayangkan pada penghujung tahun 2012 atau awal 2013 ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sepenuhnya dan 70% pengambaran dilakukan di dalam studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan selebihnya mengambil latar Malaysia sebagai lokasi pengambaran seperti di kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands, Bukit Fraser, Kellie's Castle di Batu Gajah, Puncak Alam, Serdang, Bukit Jalil dan Gua Tempurung. Filem epik ini bakal diedarkan di 72 buah negara diseluruh dunia sementara Britain dan Amerika Syarikat sudah pun menunjukkan minat untuk menayangkannya.

Jadi Itulah serba sedikit tentang filem Vikingdom: Live By The Sword ini yang sedikit sebanyak mengundang pelbagai spekulasi dan juga pandangan yang berbeza-beza dari pelbagai pihak. Ada yang pro-nya dan ada yang kontra-nya. 


Nantikan entri yang berikutnya tentang pandangan penulis sendiri mengenai filem ini. 

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga