Titipan tentang Filem Vikingdom: Live By The Sword

Melalui entri sebelum ini penulis sudah memperkenalkan Vikingdom kepada blogwalker yang singgah ke kalam penulis ini. Mungkin tidak sepenuhnya kerana masih belum memperkenalkan barisan para pelakon secara dekat. Tidak kisahlah. Itu tidak penting pun. Rata-rata dari pemerhatian penulis sendiri semasa blogwalking, ada kebanyakan orang kita memberi pandangan negatif tentang hasrat KRU Studios dan filem itu untuk pergi lebih jauh. Penulis tidak mahu mengulas lanjut kerana setiap manusia punya pendapat tersendiri.

Dilihat dari visi dan misi adik beradik KRU sendiri memang harus dibanggakan kerana mampu membawa satu revolusi produksi filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi. Sama ada berjaya atau tidak kita tunggu sahaja hasilnya nanti. Di kala industri filem tempatan yang mengalami pasang surutnya dengan pelbagai isu dan kekangan, KRU Studios merintis kebolehupayaan anak muda tempatan menghasilkan filem bertaraf antarabangsa dengan barisan pelakon yang bukan calang-calang di bumi Hollywood. Adik beradik KRU memang diakui mempunyai impian dan kemampuan yang maju ke hadapan. Setiap penghasilan karya mesti mempunyai nilai estetika dan seiring dengan standard antarabangsa. Semangat yang dipunyai 3 beradik ini amat dikagumi dan wajar di contohi oleh anak muda tempatan yang lain. Segalanya bertitik tolak dari penghasilan Hikayat Merong Mahawangsa yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Semasa sidang akhbar baru-baru ini, Norman banyak bercerita tentang promosi filem ini yang dijaja ke seluruh dunia bagi mendapatkan hak untuk menayangkan Vikingdom dengan bermodalkan watak utamanya, Dominic Purcell bintang TV Prison Break yang ditayangkan di kaca TV suatu ketika dahulu dan skrip Vikingdom semata-mata. Itu adalah usaha. Yelah. Baru pertama kali menghasilkan filem antarabangsa jadi usaha haruslah lebih gigih. Manusia akan memberi peluang jika melihat kita gigih melobi sesuatu yang mungkin 50-50 kejayaannya. Tetapi sentiasalah bersikap optimis barulah usaha itu berbaloi. Norman juga menyatakan negara-negara yang mengesahkan untuk menayangkan Vikingdom. Bagi penulis itu semua tidak wajar di beritahu. Seharusnya konsep dan jalan cerita yang menarik harus digembar-gemburkan.

Penulis akui penulis adalah kaki wayang. Tetapi penulis sendiri tidak berasa teruja apabila Vikingdom mula menjengah ke pawagam nanti. Memang KRU Studios mampu mendabik dada dengan penggunaan teknologi canggih yang belum dipelopori anak tempatan lain. Tetapi di Amerika Syarikat mereka sudah ke hadapan. Semasa kita baru mahu menggunakan teknologi mereka, mereka sudah mencipta teknologi baru. Selain daripada itu, jalan cerita dan konsep filem ini yang bagi penulis tidak berjaya mencuri perhatian penulis sendiri. Sama seperti Hikayat Merong Mahawangsa dahulu. Segalanya BOOMBASTIC. Tetapi hasilnya....

Hingga ke hari ini penulis masih minat dan teruja menonton filem Pearl Harbor kerana filem itu memaparkan elemen yang tipikal seperti percintaan dan persahabatan kemudian pengkhianatan dan cinta tiga segi tetapi masih berpegang pada tema utamanya. Skrip yang berkesan. Setiap babak kita bagai dibuai dengan latar muziknya. Sinematografi yang menawan dan juga teknologi CGI yang sangat memukau dan lebih penting realistik. Filem epik lain seperti trilogi Lord of The Ring yang hingga ke hari ini penulis masih mahu menonton.

Tetapi mungkin kali ini berlainan kerana ada usahasama bersama produksi dari Hollywood. Kita tunggu sahaja. Bagi penulis biarlah cerita itu ringkas tapi jalan cerita mampu memberi impak kepada penonton kerana setiap penonton akan tetap mencari hiburan tetapi menelusuri elemen-elemen yang meninggalkan kesan yang mungkin bagi sesetengah pembikin filem sukar untuk dicipta. Disitulah letaknya keupayaan setiap pengarah menzahirkan kreativitinya. Segala aspek harus di ambil kira. Bukan dari sekadar pergerakan tetapi emosi juga.

Mungkin jangkaan penulis sendiri sangat tinggi dan mahukan yang terbaik untuk Vikingdom kerana mahu melihat produksi anak tempatan diiktiraf  di peringkat antarabangsa. Cuma apa yang penulis mahukan adalah keupayaan filem itu menggoda penonton untuk ke pawagam buat kali yang kedua dan seterusnya mampu mengamit semula kenangan semasa menonton filem itu buat kali pertama dahulu.


Penulis sendiri masih tertanya-tanya kenapa mesti KRU Studios membawa Vikingdom ke layar perak antarabangsa. Sebuah filem yang sepatutnya mengambil latar negara-negara Skandinavia seperti Norway sendiri yang diakui mempunyai lokasi pergunungan yang cantik dan indah sebaliknya memilih Malaysia sebagai lokasi pengambaran. Mungkin kerana kekangan kewangan yang tidak mampu untuk membawa krew KRU Studios ke Norway.

Selain daripada itu, dari segi tema dan konsep, mengapa tema epik dan perang seperti Vikingdom harus diketengahkan oleh produksi tempatan.  Banyak lagi tema dan konsep yang bercirikan Malaysia tetapi mempunyai elemen Hollywood bahkan pelakon Hollywood juga boleh diselitkan bersama. Mungkin boleh ketengahkan filem Melaka yang memaparkan kunjungan pelbagai kuasa penjajah dunia ke Melaka. Boleh juga filem mengenai penjajahan British sebelum mereka sampai ke Tanah Melayu lagi. Apa perancangan mereka sebelum sampai ke Tanah Melayu. Ataupun boleh juga menghasilkan filem tentang Negeri-Negeri Selat di Tanah Melayu. Jikalaulah mahu menghasilkan filem epik. Bagaimanapula dengan filem muzikal seperti tarian, menampilkan tarian tradisional Melayu sebagai tema utamanya.

Untuk menyedapkan hati penulis mungkin ini adalah usaha KRU Studios untuk memancing negara-negara di seluruh dunia tentang kewujudan mereka di arena perfileman antarabangsa. Harapan penulis agar usaha ini berhasil dan penulis juga mendoakan agar usaha KRU Studios itu akan berjaya. Penulis sendiri punya impian untuk menghantar beberapa idea dan konsep cerita untuk diterjemahkan oleh 3 beradik ini ke layar perak. Dengan teknologi yang digunakan, komitmen yang tinggi dan kualiti kerja yang mungkin boleh diperbaiki lagi di masa depan. Mungkin ada ketikanya nanti.

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga