Kalam Kenangan Sang Pujangga


YASMIN (kanan) bersama pelakon cilik, Tan Hong Ming sewaktu penggambaran iklan Kemerdekaan Petronas di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (3), Kuala Lumpur.





Sebelum mengenal filem-filem arahan Yasmin Ahmad, mungkin hati sebahagian daripada kita terlebih dahulu 'disentuh' dengan karya-karya iklan nukilannya. Sering meletakkan dirinya sebagai storyteller (penglipurlara), sutradara kreatif ini bijak mencanai kreativiti dalam menyampaikan mesej kepada khalayak.

Siapa yang tidak ingat dengan karya-karya iklan komersial Petronasnya yang mencuit hati dan meruntun perasaan?

Bahkan, ramai dalam kalangan kita yang ternanti-nanti iklan Petronas setiap kali musim perayaan kerana ingin melihat buah tangan Yasmin. Kita mahu ikut menangis bersama naratif karyanya dan kita suka 'dijentik' dengan karyanya yang menyindir diri kita sendiri!

Karya-karya itu menggambarkan pengarah kreatif eksekutif di agensi pengiklanan, Leo Burnett Malaysia itu punya magis dalam sentuhan karyanya. Elemen kasih sayang, cinta, kekeluargaan dan jenaka yang sering digarap dalam iklan sering mengesankan khalayak.

Yasmin pernah dinobatkan sebagai pengarah terbaik Malaysia Video Award 1999 untuk sebuah iklan Petronas arahannya.

Daripada seorang pengarah iklan, Allahyarham memasuki dunia perfileman pada tahun 2002 apabila tampil dengan filem sulungnya, Rabun.

Yasmin boleh disifatkan sebagai pengarah filem yang lain daripada yang lain. Hadirnya dalam bidang perfileman bagai memberi warna dan variasi kepada wajah filem Malaysia.

Antara kelainan paling ketara adalah penerapan nilai masyarakat majmuk atau kemalaysiaan dalam karyanya. Ini boleh dilihat dengan jelas pada deretan karyanya iaitu Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009). Sepet misalnya berkisar tentang percintaan antara seorang gadis Melayu, Orked dan seorang lelaki Cina, Lee Seow Loong.

Biarpun karya-karya iklannya bagai disambut dengan hamparan permaidani merah, namun filem-filemnya melalui laluan yang berliku. Keterbukaannya dalam berkarya dan keberaniannya mengupas isu kemasyarakatan membuatkan dirinya seringkali menjadi mangsa kritikan dan dihimpit kontroversi.

Filem Sepet, misalnya, dipotong lapan adegan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). Filem Muallaf pula sehingga kini belum ditayangkan di negara ini walaupun sudah ditayangkan di Singapura.

"Saya sudah penat dengan pelbagai kerenah birokrasi dan prejudis sesetengah pihak. Saya buat filem untuk orang Malaysia dan mahu mereka menonton," katanya dalam satu temu bual pada tahun 2004.

Kontroversi turut terpalit apabila Yasmin mendakwa penerbit filem, David Teo meniru karyanya tahun lalu.

Bagaimanapun, di sebalik tusukan kritikan, masih ada yang menilai filem-filem Yasmin dari sisi berbeza. Sepet dan Gubra masing-masing menerima Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia 2005 dan 2006.

Lebih membanggakan, Yasmin juga menjadi jagoan di pentas antarabangsa apabila filem-filemnya meraih kejayaan membanggakan di luar negara.

Filem Sepet memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Filem Asia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo pada 2005 dan meraih Anugerah Grand Prix di Pesta Filem Wanita Antarabangsa Creteil pada 2005.

Filem Mukhsin mencatat kejayaan dengan meraih Filem Cereka Terbaik dan Deutsches Kinderhilfswerk Grand Prix di Pesta Filem Antarabangsa Berlin selain diangkat sebagai Filem Asean Terbaik di Pesta Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.

Filem Muallaf pula memenangi Anugerah Filem Asia - Sebutan Khas di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo 2008.

Filem-filem Yasmin juga mendapat pengiktirafan dari negara luar apabila ditayangkan di Berlin, San Francisco, Singapura dan di festival filem ulung dunia, Festival Filem Cannes.


DERETAN filem dan iklan komersial yang mendapat sentuhan kreativiti luar biasa Yasmin.


Apapun, Yasmin pernah memberitahu dia menghasilkan filem kerana unsur kemanusiaan.

"Sejak kecil lagi, saya selalu mengambil berat tentang unsur kemanusiaan. Saya mendapati, dalam kita mengejar kejayaan, kadang-kadang kita terlupa tentang asas-asas kemanusiaan seperti baik hati dan kasih sayang. Saya sentiasa mencuba untuk memasukkan perasaan ini dalam kesemua filem yang saya hasilkan, baik filem iklan atau filem di layar perak. Bagi saya, filem adalah peluang untuk mengingatkan manusia agar menjadi manusia semula," ujarnya dalam satu temu ramah dengan seorang wartawan Berlin, Jerman, Tilman Baumgartel tahun lalu.

Dalam legasi seninya, Allahyarham Yasmin yang lahir pada 1 Julai 1958 dan meninggal dunia pada usia 51 tahun sentiasa mengotakan pendiriannya itu.


Dipetik dari Kosmo! Online 27 Julai 2009

Sumber Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga