0

Laman Santai : Membudayakan Budaya, Menyerikan Seni

Laman Santai yang diwujudkan oleh Istana Budaya adalah inisiatif yang sangat dipuji di mana usaha ini dilihat dapat mengekalkan khazanah kesenian dan kebudayaan negara di samping memberi peluang kepada generasi muda mengenali kesenian dan kebudayaan yang ada di Malaysia.
Laman Santai ini merupakan satu hub yang digunakan untuk memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni samada individu atau kumpulan untuk menonjolkan bakat dan berkarya. Laman Santai ini bertempat di Laman Beringin yang terletak di antara Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara berlansung setiap Sabtu bermula pada 7.45 malam sehingga 10.30 malam.

Program ini juga menyediakan tempat bagi keluarga dan anak muda untuk berkumpul dan mengenali dengan lebih dekat lagi aktiviti-aktiviti kebudayaan dan makanan tradisional Malaysia. Dengan ini dapat menyemarakkan aktiviti seni budaya di kalangan masyarakat sambil berhibur sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu pusat kesenian.

Kunjungan yang tidak disengajakan semasa penulis berstatus pelajar suatu ketika dahulu di mana penulis melakukan tugas lapangan di Laman Santai telah memberi gambaran yang sangat menarik dan ianya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Cuma ketika ini tidak dapat membuat kunjungan kerana kekangan waktu dan tugas tetapi penulis sudah memasang azam untuk membuat kunjungan semula. Ramai artis tanahair di jemput memeriahkan Laman Santai ini saban minggu. Joget lambak juga ada dipertontonkan di sini.

Melihat usaha yang telah dilakukan oleh Istana Budaya ini telah memberi penulis satu idea untuk merangka program yang sama di negeri kelahiran penulis sendiri iaitu Negeri Sembilan dan lebih 'specific' di daerah tempat penulis dibesarkan iaitu Port Dickson di mana merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular di Malaysia. Berkemungkinan ciri dan pengisian program sama tetapi ada penambahan dan kelainan yang ditonjolkan, mungkin lebih kepada program 'ala buskers', seni dan budaya tetap dikekalkan. Sudah tentunya ada jualan dan pelbagai aktiviti dirangka bagi memeriahkan program ini.

Ketika ini tiada usaha dilakukan bagi menyemarakkan seni dan budaya di destinasi pelancongan ini walhal Port Dickson merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sangat popular. Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan negeri. Jadi ini adalah usaha yang dapat membawa Negeri Sembilan ke satu tahap yang lebih jauh.

Baru-baru ini pula kerajaan tempatan iaitu Majlis Perbandaraan Port Dickson(MPPD) sudah menaiktaraf pesisir pantai Teluk Kemang dan penulis melihat pesisir itu sangat memukau dan mempesonakan. Pesisir itu di beri nama PD Walk, dan di label sebagai zon kesihatan kerana mempunyai 'jogging track'. Terdapat beberapa wakaf dan pelantar yang menarik dengan hiasan batu dan lampu yang kemilau bila menjelang malam.

Cadangan ini akan diusulkan samada kepada Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, MPPD dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Dato' Mohamad Radzi bin Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu dan juga beberapa pihak yang berminat untuk menaja program ini dan jangkaan program ini bermula masih lagi dalam pertimbangan dan masih dalam proses merangka kertas candangan. Lagi pula penulis mahu memfokuskan aktiviti seni dan budaya kepada ARMADA SENI dahulu, kerana ARMADA SENI baru sahaja bermula mungkin selepas ARMADA SENI sudah menempa kejayaan dan memperoleh pengalaman.

Sama-sama kita nantikan kemunculannya. Jika bukan kita yang menyemarak seni, Siapa lagi.

0

Pertandingan Akhir Cipta Lagu Patriotik 2010

Tarikh : 4 Disember 2010
Tempat : Amphitheater Seri Utama, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay
Masa : 8.00 malam

Keterangan Acara :

Pertandingan yang telah berlangsung dari 15 Oktober hingga 19 November 2010 yang lalu berjaya menyenaraikan 52 penyertaan dan daripada jumlah tersebut, lapan (8) orang komposer layak ke peringkat akhir. Siapakah di antara komposer tersebut yang berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 30,000.00.

Pertandingan ini turut diserikan dengan persembahan istimewa dari Sifu – M.Nasir, Ana Raffali, Fiq, Pop Shuvit, Kumpulan Brass Band daripada SMK Victoria dan ramai lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sila hubungi Cawangan Komunikasi Korporat JKKN di talian 03 – 2052 3702 / 03-2052 3703 (Hassanal) /03-2052 3617 (Cik Rozita).

0

Menjengah Rentetan Kisah Natrah Musim Ke-2 di Istana Budaya

Tempat : Panggung Sari
Tarikh : 30 Novemner - 9 Disember

Teater Natrah memaparkan rentetan kehidupan Nadra Maarof, atau nama Belanda Bertha Heartogh. Beliau adalah wanita keturunan Belanda yang dipelihara oleh Che Aminah Mohamad. Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Konflik percintaan antara Natrah dan Mansoor Adabi yang menyebabkan terjadi rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit. Pada 9 Julai 2009, beliau meninggal dunia pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda akibat leukemia.

Maria Hertogh adalah gadis keturunan Belanda yang diserahkan oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.


Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika, dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai. Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Che Aminah yang diwakili peguam bela Encik Ahmad Ibrahim, menang kes rayuannya dan Natrah dikeluarkan daripada York Hill. Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun dan Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin tetapi mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya.

Konflik agama dan isu penjagaan yang telah menyebabkan terjadinya rusuhan di Singapura. Ikutilah kesudahannya!

Tiket : RM30, RM50, RM70, RM100 & RM150

Kaunter Tiket : BOX OFFICE, ISTANA BUDAYA, JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Tel : 03-4026 5558
Faks : 03-4026-5552

Waktu Operasi :
9.00 Pagi – 6.00 Petang (Hari Bekerja)
9.00 Pagi – 1.00 T/hari (Sabtu)
Tempahan/Pembelian Online : www.ticket2u.biz
Tel: 03-4149 8600
Laman Web Rasmi : www.istanabudaya.gov.my


0

Dari PESAK ke Sebuah ARMADA SENI

Sukar rasanya luahan rasa dapat dizahirkan melalui kata-kata, segala rasa semua bercampur gaul bersama, gembira, teruja, terkesima, apa-apa sahaja-lah. Apa yang mampu diharapkan adalah agar apa yang diimpikan selama ini akan dapat membuahkan hasil yang membanggakan dan memberi impak yang berguna kepada semua dan juga masyarakat setempat seterusnya dapat memberi satu khazanah baru yang segar dan terpelihara.

Baiklah sedikit pengenalan, ARMADA SENI adalah sebuah kumpulan teater di bawah Kementerian Penerangan yang baru ditubuhkan dua tahun yang lepas oleh tiga orang rakan baik yang telah bersama berjuang memartabatkan seni dan budaya. Perjuangan seni mereka sekadar terlibat dalam pembabitan teater, penyampaian sajak dan beberapa lagi pembabitan seni yang berkaitan dan mereka mahu ARMADA SENI juga berkembang dan mampu memartabatkan cabang seni yang lain seperti tarian tradisional. Sudah semestinya penulis sangat berbesar hati dapat ikut serta bersama mereka. Segala ilmu dan pengalaman yang dimiliki tentunya mahu dikongsi bersama mereka. Penulis mengakui bahawa tidaklah mempunyai kelayakan yang selayaknya, namun dengan hanya punya setahun jagung pengalaman, segenggam semangat yang kuat mungkin mampu menghasilkan sesuatu yang tidak mustahil. Tidak jadi masalah kiranya bersama-sama memimpin menerajuinya. MENJADI ARMADA BERSAMA. Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing.

Keterujaan itu bermula selepas pertemuan secara tidak sengaja dengan salah seorang dari ahli mereka dan secara kebetulan adalah 'senior' semasa di sekolah dahulu. Pertemuan itu telah mengungkai dan menguis banyak cerita dan kisah. Dari segi pengalaman yang ada, visi dan misi, impian, cita-cita dan segalanya-lah. Sementara pertemuan bersama ahli yang paling dewasa juga merupakan Pengerusi ARMADA SENI secara tidak rasmi membawa penulis ke satu harapan yang sudah tentunya membuat penulis tersenyum bangga. Visi dan misi sama, impian juga serupa. Cuma kerana kedewasaan itu membuatkan beliau lebih mempunyai rangkaian kenalan yang lebih luas dan memudahkan kelancaran ARMADA SENI di masa yang mendatang. Teratak beliau akan menjadi tempat semua ANAK-ANAK ARMADA SENI berkumpul, berlatih, bermusyawarah, berimarah serta berkongsi maklumat dan sebagainya. Penulis juga sudah memberi nama kepada teratak pengerusi ARMADA SENI iaitu SERAMBI SENI. Dan beliau sangat gembira dan berbesar hati.

ARMADA SENI bakal menyiapkan diri dalam perjuangan seni terbaru mereka bagi memburu kejuaraan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan buat kali yang ke-3 selepas mendapat Naib Johan sebanyak dua kali sejak 2009 yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan yang bakal dilangsungkan Julai tahun hadapan. Mereka mahu membuat persediaan awal supaya lebih bersedia dan mantap. Sudah mempunyai tajuk dan masih mencari dan mengumpul maklumat, membuat penyusunan serta cuba menyuntik kelainan dalam projek terbaru ini.
Bagi penulis pula sudah ada agenda yang dirangka untuk PESAK menyertai ARMADA SENI. Juga ada agenda untuk ARMADA SENI yang bakal bermula secara serius awal tahun hadapan. Penulis juga agak kagum dengan Presiden ARMADA SENI kerana Januari yang bakal mendatang ini sudah ada pengisian yang bakal menanti.

Dan sudah tentunya dari hanya sebuah asprisiasi pujangga teater menyatu nadi bergabung seni ke gemalai sang tari.

PS : BUAT MAKLUMAN SEMUA, ARMADA SENI AKAN MENGADAKAN PERJUMPAAN DALAM MAJLIS SUAI KENAL DAN DEMOSTRASI TARIAN PADA 10HB DISEMBER 2010 DI SERAMBI SENI, BAGAN PINANG. JAMUAN RINGAN TURUT DISEDIAKAN. SEBARANG PERTANYAAN BOLEH MENGHUBUNGI WARDY 012-3561196 DAN FIDZ 017-2380652.
2

Sang Tari : Cerita Tentang Tarian Tradisional



Baru-baru ini sedang leka menonton TV di rumah tiba-tiba datang konsep dan idea untuk skrip terbaru, Sang Tari. Masih dalam usaha mencari idea sepanjang perjalanan cerita. Sebahagian watak telah dicipta tetapi masih belum cukup konkrit dan kuat lagi. Walaubagaimanapun tetap terus berusaha untuk merealisasikannya. Insya Allah. Doakan ya!



Cerita Sang Tari berkisarkan sekumpulan remaja yang mewakili sebuah kumpulan tari yang bersaing sesama sendiri dan juga kumpulan lain di seluruh Malaysia untuk melayakkan diri dalam pementasan drama tari yang dianjurkan oleh sebuah jabatan di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang bertajuk Sang Tari. Cerita ini memaparkan usaha anak muda dalam memartabatkan tarian tradisional yang terdapat di Malaysia dan usaha dalam mengejar impian menjadi penari tradisional yang berjaya dan disegani. Watak utamanya adalah seorang gadis yang bercita-cita tinggi untuk menjadi penari tradisional yang terunggul telah menyertai sebuah kumpulan tarian yang baru ditubuhkan, Gemalai Anak Seni. Seorang yang agak pendiam tapi agresif. Dia mula menari sejak di bangku sekolah lagi yang dulunya merupakan seorang yang sangat ceria dan periang berubah sejak kematian ibunya yang tersayang. Ibunya telah banyak memberi galakan dan tunjuk ajar dan tidak menyertai mana-mana kumpulan tarian sejak itu. Selama ini ibunya adalah idola dan tunjang utamanya dalam bidang seni tari tradisional. Setelah sekian lama barulah dia menerima pemergian ibunya dan menari demi meneruskan legasi ibunya dan meneruskan cita-citanya yang tertangguh. Apa yang diharapkan olehnya adalah dapat menyemarakkan lagi usaha dan impian ibunya.


Sang Tari menonjolkan gerak tari tradisional seperti Inang, Joget, Zapin, Masri dan semua tarian tradisional yang terdapat di Malaysia. Elemen drama, konflik dan pergolakan juga ditonjolkan bagi memberi rencah kepada penceritaan. Konflik lebih banyak berlaku di dalam kumpulan tarian Gemalai Anak Seni itu sendiri dan bagaimana watak utama menyelesaikan setiap konflik yang berlaku.

Secara konklusinya, dapat dikatakan banyak usaha yang perlu dilakukan bagi merealisasikan naskhah ini dapat dizahirkan ke layar perak. Bermula dari kostum yang cantik, muzik latar yang hebat, latar tempat yang menarik, tenaga kerja yang dedikasi serta gerak tari yang memukau. Disinilah usaha kita dalam membuktikan kepada dunia yang tarian Malaysia juga mampu mengegar dunia.

 
Copyright © Kalam Si Pujangga