Laman Santai : Membudayakan Budaya, Menyerikan Seni

Laman Santai yang diwujudkan oleh Istana Budaya adalah inisiatif yang sangat dipuji di mana usaha ini dilihat dapat mengekalkan khazanah kesenian dan kebudayaan negara di samping memberi peluang kepada generasi muda mengenali kesenian dan kebudayaan yang ada di Malaysia.
Laman Santai ini merupakan satu hub yang digunakan untuk memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni samada individu atau kumpulan untuk menonjolkan bakat dan berkarya. Laman Santai ini bertempat di Laman Beringin yang terletak di antara Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara berlansung setiap Sabtu bermula pada 7.45 malam sehingga 10.30 malam.

Program ini juga menyediakan tempat bagi keluarga dan anak muda untuk berkumpul dan mengenali dengan lebih dekat lagi aktiviti-aktiviti kebudayaan dan makanan tradisional Malaysia. Dengan ini dapat menyemarakkan aktiviti seni budaya di kalangan masyarakat sambil berhibur sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu pusat kesenian.

Kunjungan yang tidak disengajakan semasa penulis berstatus pelajar suatu ketika dahulu di mana penulis melakukan tugas lapangan di Laman Santai telah memberi gambaran yang sangat menarik dan ianya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Cuma ketika ini tidak dapat membuat kunjungan kerana kekangan waktu dan tugas tetapi penulis sudah memasang azam untuk membuat kunjungan semula. Ramai artis tanahair di jemput memeriahkan Laman Santai ini saban minggu. Joget lambak juga ada dipertontonkan di sini.

Melihat usaha yang telah dilakukan oleh Istana Budaya ini telah memberi penulis satu idea untuk merangka program yang sama di negeri kelahiran penulis sendiri iaitu Negeri Sembilan dan lebih 'specific' di daerah tempat penulis dibesarkan iaitu Port Dickson di mana merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular di Malaysia. Berkemungkinan ciri dan pengisian program sama tetapi ada penambahan dan kelainan yang ditonjolkan, mungkin lebih kepada program 'ala buskers', seni dan budaya tetap dikekalkan. Sudah tentunya ada jualan dan pelbagai aktiviti dirangka bagi memeriahkan program ini.

Ketika ini tiada usaha dilakukan bagi menyemarakkan seni dan budaya di destinasi pelancongan ini walhal Port Dickson merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sangat popular. Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan negeri. Jadi ini adalah usaha yang dapat membawa Negeri Sembilan ke satu tahap yang lebih jauh.

Baru-baru ini pula kerajaan tempatan iaitu Majlis Perbandaraan Port Dickson(MPPD) sudah menaiktaraf pesisir pantai Teluk Kemang dan penulis melihat pesisir itu sangat memukau dan mempesonakan. Pesisir itu di beri nama PD Walk, dan di label sebagai zon kesihatan kerana mempunyai 'jogging track'. Terdapat beberapa wakaf dan pelantar yang menarik dengan hiasan batu dan lampu yang kemilau bila menjelang malam.

Cadangan ini akan diusulkan samada kepada Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, MPPD dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Dato' Mohamad Radzi bin Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu dan juga beberapa pihak yang berminat untuk menaja program ini dan jangkaan program ini bermula masih lagi dalam pertimbangan dan masih dalam proses merangka kertas candangan. Lagi pula penulis mahu memfokuskan aktiviti seni dan budaya kepada ARMADA SENI dahulu, kerana ARMADA SENI baru sahaja bermula mungkin selepas ARMADA SENI sudah menempa kejayaan dan memperoleh pengalaman.

Sama-sama kita nantikan kemunculannya. Jika bukan kita yang menyemarak seni, Siapa lagi.

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga