Showing posts with label Istana Budaya. Show all posts
Showing posts with label Istana Budaya. Show all posts
0

Akustika Konsert ‘Analoque’ Ana Raffali & Monoloque

Konsert ‘Analoque’ - Ana Raffali & Monoloque merupakan sebuah konsert akustik istimewa yang menggabungkan sepasang adam & hawa terunik dewasa ini, iaitu Ana Raffali dan Monoloque. Konsert dijadualkan akan berlangsung pada 19hb Disember 2010, Ahad di Lambang Sari, Istana Budaya. Dua pertunjukan dalam satu hari iaitu pertunjukan pertama akan berlangsung dari jam 3.00 sehingga 5.00 petang dan pertunjukan kedua akan bermula pada jam 8.45 sehingga 10.45 malam. Konsert ini dibawakan oleh Glam Rock Enterprise. Tiket masuk berharga RM59.

Ana Rafalli seperti biasa akan diiringi oleh pemuzik pengiring The Marhaens yang didukungi oleh gabungan otai dan yang sedang meningkat naik, antaranya Aidit Alfian, GG, Geeka, Pito, Rohnie dan Nazrin. Manakala Monoloque dibarisi oleh Loque (tunjang utama), Kadax, Loko, Ijoo dan Adam. Sejarah mengetahui bahawa mereka ini jugalah merupakan pejuang Buterfingers yang cukup gah itu.

Perjalanan konsert ini amat menarik untuk dinikmati. Hampir 30 buah lagu akan dipersembahkan oleh kedua insan berbakat istimewa ini. Dimulakan oleh Monoloque yang akan mempersembahkan gabungan lagu-lagu lama dan baru dari zaman kegemilangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Biduan R.Azmi, zaman emas Butterfingers hinggalah eksperimentasi Monoloque hari ini. Tiada Kata Secantik Bahasa, Mengapa Riang Ria, Rindu Dendam, Cuai, Tentang2, Chenta, Jika Aku Seorang Robot merupakan cebisan dari karya agung yang akan dipersembahkan pada hari konsert nanti.

Selepas berakhirnya persembahan Monoloque, Ana Raffali pula yang akan tampil. Ana Raffali akan menyampaikan lebih kurang 15 buah lagu, antaranya Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Tolong Ingatkan Aku, Cuba Jangan, Dan Biarkan Kau Terlepas, Ketika Aku Kecil dan lain-lainnya selain dari medley lagu-lagu ‘cover’ Melayu dan Inggeris yang digubah mengikut tekak Ana Raffali.

Kemuncak konsert ini adalah apabila kedua artis ini akan bergandingan untuk menyampaikan 2 buah lagu berhantu ketika ini iaitu ‘Kekanda Adinda’ dan ‘Kalau Berpacaran’ selain sebuah lagu bonus yang diberi sentuhan baru oleh Monoloque iaitu ‘Doa Buat Kekasih’ (nyanyian asal Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim).


Aspek penting lain persembahan seperti dekorasi pentas, pencahayaan dan juga sistem bunyi adalah amat penting. Kain hitam dan kemungkinan kain bercorak samada batik atau songket akan menjadi backdrop pentas. Permaidani juga akan digunakan untuk menutupi lantai pentas. Bagi menambah nilai artistik konsert, kami bercadang akan menggantungkan lampu ayam dan burung kertas yang berwarni warni di atas flying bar. Begitu juga dengan taburan pasu bunga dan bunga di sekeliling pentas.


Dari aspek sistem bunyi pula, kami akan mengunakan sistem RCF yang terbukti sebagai sistem terbaik untuk konsep ‘indoor’. Sistem ini dapat menghasilkan satu bunyi yang bersih, bersesuaian dengan konsep akustik konsert ini. Dari aspek penatacahayaan pula, seperti biasa, kami akan menyediakan ‘par can’, ‘citi colour’, ‘washer’, ‘moving head’ dan peralatan-peralatan penting lain dalam penatacahayaan, termasuk juga penggunaan ‘follow spot’. Tenaga kerja kami yang sememangnya berpengalaman dalam penganjuran konsert di negara ini akan menyelenggarakan keseluruhan aspek-aspek penting ini.

Ayuh, panjangkan langkah, buka kuda-kuda, mari kita berpencak di Istana Budaya dalam Konsert ‘Analoque’ – Ana Rafalli & Monoloque.

(Sumber : http://www.istanabudaya.gov.my/analoque)

0

Fantasi Siti Di Alam Fantasi di Istana Budaya

Setelah 10 tahun berlalu, Siti Di Alam Fantasi ( SDAF ) karya dan arahan Aminah Rhapor yang pernah mengarah teater seperti Tanah Bernanah, Tun Mamat kembali lagi dipentaskan untuk 3 kali sebelum ini dipentaskan bersempena Pesta Flora dan Festival Kebudayaan Komanwel Kuala Lumpur ’98. SDAF diangkat dan dipentaskan kali keduanya di Istana Budaya pada 2000. SDAF merupakan teater kanak-kanak pertama yang dipentaskan di Istana Budaya dan mencatatkan sejarah penonton paling ramai mengatasi teater dewasa. Pada 2001 pengambarannya untuk penerbitan RTM 1 berlangsung dansebanyak 39 episod SDAF mula ditayangkan di televisyen sepanjang tahun 2001 dan 2002. Kini SDAF kembali semula dengan wajah baru di Istana Budaya menampilkan persembahan yang lebih segar dan mantap, sesuai dengan teknologi dan selera penonton terkini. . Buku novel bersiri SDAF juga bakal berada dipasaran. Jadi jangan lupa untuk mendapatkannya.

Untuk persembahan yang bakal berlangsung dari 22 – 31 Disember ini, Liyana Jasmay akan mengantikan Amy Mastura, selaku watak Siti. Dengan tenaga baru, Liyana Jasmay dijangka memberikan aura tersendiri buat tarikan kepada penonton yang akan menyaksikan teater ini.

Selain Liyana, antara pelakon yang akan membuai fantasi penonton nanti adalah Vanidah Imran dan Ebby Yus.

SDAF mengisahkan tentang seorang budak perempuan yang kaya raya, cantik dan manja tetapi sombong, degil serta angkuh. Bapa Siti, Tuan Malim meraikan harijadi Siti di satu majlis yang meriah, tetapi satu bayang besar dengan secara tiba-tiba mencuri geliga keturunan Siti. Rumah Tuan Malim dan semua tetamu tenggelam ke dalam tanah tetapi Siti berjaya diselamatkan Mamat, anak tukang kebun dan Andan. Gergasi Batu membuka rahsia: kekayaan datang dari tuah geliga, jika tidak dicari geliga yang dicuri, kelak papa kedana tujuh keturunan. Gergasi Batu menelan Siti, Mamat dan Andan dan dari situlah bermula pengembaraan Siti mencari geliga milik keturunannya.Akhirnya, rumah yang tenggelam, timbul semula seperti sedia kala. Pengalaman pengembaraan mengajar Siti berhati mulia, kesetiaan pengikutnya dan pengorbanan binatang lain melunturkan kesombongannya. Akhirnya Siti menyedarinya bahawa "selalu berkasih sayang, sepanjang hayat akan dikenang, kaya bukan angkuh meraja, miskin bukan hamba selama".

Bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya, SDAF, akan berfantasi dari 22 – 31 Disember 2010 pada 8.30 malam, setiap hari. Tiket-tiket berharga RM 30, RM 50 dan RM 150. Tiket-tiket boleh didapati di kaunter tiket ‘Box Office’ Istana Budaya atau pun secara dalam talian di http://www.ticket2u.biz/.

SDAF dibawakan oleh Istana Budaya, agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Jadi marilah kita menonton fantasi si Siti ini.

Anda juga boleh kunjungi laman sesawang berikut jika mahu maklumat lanjut:

Istana Budaya : www.istanabudaya.gov.my/web/guest/siti

Facebook : http://www.facebook.com/#!/pages/Siti-Di-Alam-Fantasi-the-Musical/169065429785616

Sesi Rehearseal SDAF:

0

Laman Santai : Membudayakan Budaya, Menyerikan Seni

Laman Santai yang diwujudkan oleh Istana Budaya adalah inisiatif yang sangat dipuji di mana usaha ini dilihat dapat mengekalkan khazanah kesenian dan kebudayaan negara di samping memberi peluang kepada generasi muda mengenali kesenian dan kebudayaan yang ada di Malaysia.
Laman Santai ini merupakan satu hub yang digunakan untuk memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni samada individu atau kumpulan untuk menonjolkan bakat dan berkarya. Laman Santai ini bertempat di Laman Beringin yang terletak di antara Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara berlansung setiap Sabtu bermula pada 7.45 malam sehingga 10.30 malam.

Program ini juga menyediakan tempat bagi keluarga dan anak muda untuk berkumpul dan mengenali dengan lebih dekat lagi aktiviti-aktiviti kebudayaan dan makanan tradisional Malaysia. Dengan ini dapat menyemarakkan aktiviti seni budaya di kalangan masyarakat sambil berhibur sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu pusat kesenian.

Kunjungan yang tidak disengajakan semasa penulis berstatus pelajar suatu ketika dahulu di mana penulis melakukan tugas lapangan di Laman Santai telah memberi gambaran yang sangat menarik dan ianya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Cuma ketika ini tidak dapat membuat kunjungan kerana kekangan waktu dan tugas tetapi penulis sudah memasang azam untuk membuat kunjungan semula. Ramai artis tanahair di jemput memeriahkan Laman Santai ini saban minggu. Joget lambak juga ada dipertontonkan di sini.

Melihat usaha yang telah dilakukan oleh Istana Budaya ini telah memberi penulis satu idea untuk merangka program yang sama di negeri kelahiran penulis sendiri iaitu Negeri Sembilan dan lebih 'specific' di daerah tempat penulis dibesarkan iaitu Port Dickson di mana merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular di Malaysia. Berkemungkinan ciri dan pengisian program sama tetapi ada penambahan dan kelainan yang ditonjolkan, mungkin lebih kepada program 'ala buskers', seni dan budaya tetap dikekalkan. Sudah tentunya ada jualan dan pelbagai aktiviti dirangka bagi memeriahkan program ini.

Ketika ini tiada usaha dilakukan bagi menyemarakkan seni dan budaya di destinasi pelancongan ini walhal Port Dickson merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sangat popular. Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan negeri. Jadi ini adalah usaha yang dapat membawa Negeri Sembilan ke satu tahap yang lebih jauh.

Baru-baru ini pula kerajaan tempatan iaitu Majlis Perbandaraan Port Dickson(MPPD) sudah menaiktaraf pesisir pantai Teluk Kemang dan penulis melihat pesisir itu sangat memukau dan mempesonakan. Pesisir itu di beri nama PD Walk, dan di label sebagai zon kesihatan kerana mempunyai 'jogging track'. Terdapat beberapa wakaf dan pelantar yang menarik dengan hiasan batu dan lampu yang kemilau bila menjelang malam.

Cadangan ini akan diusulkan samada kepada Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, MPPD dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Dato' Mohamad Radzi bin Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu dan juga beberapa pihak yang berminat untuk menaja program ini dan jangkaan program ini bermula masih lagi dalam pertimbangan dan masih dalam proses merangka kertas candangan. Lagi pula penulis mahu memfokuskan aktiviti seni dan budaya kepada ARMADA SENI dahulu, kerana ARMADA SENI baru sahaja bermula mungkin selepas ARMADA SENI sudah menempa kejayaan dan memperoleh pengalaman.

Sama-sama kita nantikan kemunculannya. Jika bukan kita yang menyemarak seni, Siapa lagi.

0

Menjengah Rentetan Kisah Natrah Musim Ke-2 di Istana Budaya

Tempat : Panggung Sari
Tarikh : 30 Novemner - 9 Disember

Teater Natrah memaparkan rentetan kehidupan Nadra Maarof, atau nama Belanda Bertha Heartogh. Beliau adalah wanita keturunan Belanda yang dipelihara oleh Che Aminah Mohamad. Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Konflik percintaan antara Natrah dan Mansoor Adabi yang menyebabkan terjadi rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit. Pada 9 Julai 2009, beliau meninggal dunia pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda akibat leukemia.

Maria Hertogh adalah gadis keturunan Belanda yang diserahkan oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.


Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika, dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai. Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Che Aminah yang diwakili peguam bela Encik Ahmad Ibrahim, menang kes rayuannya dan Natrah dikeluarkan daripada York Hill. Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun dan Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin tetapi mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya.

Konflik agama dan isu penjagaan yang telah menyebabkan terjadinya rusuhan di Singapura. Ikutilah kesudahannya!

Tiket : RM30, RM50, RM70, RM100 & RM150

Kaunter Tiket : BOX OFFICE, ISTANA BUDAYA, JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Tel : 03-4026 5558
Faks : 03-4026-5552

Waktu Operasi :
9.00 Pagi – 6.00 Petang (Hari Bekerja)
9.00 Pagi – 1.00 T/hari (Sabtu)
Tempahan/Pembelian Online : www.ticket2u.biz
Tel: 03-4149 8600
Laman Web Rasmi : www.istanabudaya.gov.my


 
Copyright © Kalam Si Pujangga