Showing posts with label Tarian. Show all posts
Showing posts with label Tarian. Show all posts
0

Tarian Tradisional Penyeri Majlis Perkahwinan Anda

TARIAN TRADISIONAL boleh memberikan kemeriahan dan kelainan kepada sesebuah majlis perkahwinan. Kebanyakan bakal pengantin inginkan sebuah majlis perkahwinan yang lain berbanding dengan teman-teman mereka yang telah berkahwin. Kemeriahan dan kelainan amat dititik beratkan oleh ibu bapa pasangan pengantin.

Bagi mereka yang mempunyai ramai saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan, pastinya inginkan sebuah majlis yang hangat, ceria dan disebut-sebut sepanjang zaman. Ramai yang berusaha mencari kelainan dan keunikan bagi majlis masing-masing.

Kompang dan silat merupakan hiburan utama yang menjadi pilihan setiap pengantin. Namun begitu, trend masakini telah terdapat ramai yang menggunakan persembahan tarian tradisional bagi menyeri majlis. Baik majlis di dewan mahupun majlis di rumah.

Keindahan tarian tradisional semasa majlis perkahwinan terletak pada tarian dan pakaian yang digunakan. Sebab itu ia menjadi sebahagian persembahan istimewa buat para tetamu.

Bermula dari pasangan pengantin diiring dan di arak ke pelamin oleh para penari yang comel dan cantik, sehinggalah pasangan pengantin menjamu selera di meja santapan.

Perlu diingat, pemilihan lagu bagi persembahan tarian hendaklah sesuai dengan adat dan adab kita samada berbangsa Melayu, Cina mahupun India. Jika tersalah pilih, pasti akan menimbulkan kesan yang negatif dan menjadi kutukan masyarakat.

Bagi bangsa Melayu, pilihan jenis tarian terbahagi kepada 3 yang utama iaitu Tradisional, Moden dan Kontemporari. Di antara tarian tradisional yang sesuai untuk majlis perkahwinan seperti tarian Asyik, tarian Zapin dan juga tarian dari lagu-lagu Gamelan.




Tarian Asyik merupakan sejenis tarian Melayu klasik dari daerah - daerah di Kelantan yang ditarikan di istana raja. Asyik bererti kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak - geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Tarian Asyik ini dimulai dengan sepuluh orang penari masuk ke dewan tarian terlebih dahulu , lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari.


Tarian Zapin diilhamkan oleh peranakan Arab dan diketahui berasal dari Yaman. Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang dan marakas.

Manakala untuk lagu Moden pula seperti lagu Selamat Pengantin Baru dan Tari Bunga Rampai. Ada juga yang mengambil langkah berani dengan memilih tarian jenis kontemporari dengan gabungan pelbagai lagu. Namun begitu, pemilihan begini agak kurang sesuai dikenakan di sesebuah majlis perkahwinan bangsa Melayu yang penuh adat dan istiadat perkahwinan.



Bagi pengantin yang berbangsa India, pemilihan lagu tarian kebiasaannya adalah dari jenis kontemporari. Pemilihan lagu sememangnya hangat dan rancak. Rata-rata gemar menyelitkan unsur Bollywood yang sememangnya menyuntik rentak dan irama hebat. Bagi pengantin berbangsa Cina pula, tidak ramai yang gemarkan persembahan tarian untuk majlis mereka. Mereka lebih memberikan penekanan kepada persembahan nyanyian, slideshow dan sketsa.

Selamat Pengantin Baru dan semoga anda membuat pemilihan tepat tarian tradisional agar majlis semakin berseri. Buat masa ini kami menyajikan persembahan tarian tradisional yang melibatkan penari kecil yang berumur lingkungan 8 tahun sehingga 15 tahun.


Jika anda ingin membuat sebarang pertanyaan atau tempahan bolehlah menghubungi Alias 012-9331664, Wardy 012-3561196 atau Firdaus 017-2380652.

0

Semarak Armada

Berkuatkuasa 1hb Januari lalu kami Armada akan berlatihan setiap Jumaat dan Sabtu sahaja bermula jam 8.00 pm sehingga 10.30 pm kerana memberi laluan kepada waktu persekolahan kebanyakan penari muda.


Bermula 1hb lalu juga sudah hampir sebulan tiada entri baru yang penulis titipkan di kalam blog ini. Tiada apa yang luar biasa berlaku sekadar terus meneruskan latihan seperti biasa dan Alhamdulilah sepanjang pertemuan itu Tarian Inang sudah pun disiapkan cuma perlu dimantapkan posture sahaja. Baru sahaja minggu lalu penulis memberi sedikit ragam untuk Joget dan tarian pembukaan Dia Datang. Sekadar mencukupkan syarat. Insya Allah dalam sebulan lagi kami sudah bersedia menerima sebarang tempahan persembahan. Melihat keazaman penari muda ini penulis sudah pasti tidak akan sekadar mengerakkan kumpulan ini separuh jalan sahaja.


Penari senior masih samar kerana sepanjang 2 bulan pertemuan berlangsung tiada tanda yang mereka akan meneruskan latihan mereka. Sudah penat dengan alasan kekangan kerja. Kata orang jika mahu seribu daya, tidak seribu dalih. Mungkin fikir mereka usaha ini hanya sekadar omongan kosong. Keaadaan ini benar-benar menguji kredibiliti penulis. Jauh di benak fikir penulis ini adalah dugaan bagi penulis terus memartabatkan seni dan budaya khususnya tarian tradisional ini.


0

Pesta Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia kembali lagi!

Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan akan menganjurkan acara pesta Tarian Cuti-cuti 1Malaysia pada 5 Disember ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang bakal menyaksikan penyertaan 10,000 orang daripada seluruh negara bagi mencatatkan rekod sebagai acara tarian dengan penyertaan teramai di Malaysia dalam Malaysia Book of Records (MBR). Tarian Cuti-cuti 1Malaysia merupakan hasil gabungan beberapa tarian termasuk tarian Cina, India, Melayu serta tarian etnik dari Sabah dan Sarawak.



Fiesta ini mempamerkan tarian masyarakat majmuk Malaysia yang pelbagai. Ia memberi gambaran kekayaan budaya dan warisan 1Malaysia. Terdapat 9 koleksi tarian yang bakal dipersembahkan iaitu Overture (Malaysia Truly Asia), elemen Cina (Man Chang Fei), elemen Sabah (Jambatan Tamparuli), elemen India (Paattu Paadavaa), elemen Sarawak (Puteri Santubong), elemen Orang Kita (Sewang), elemen Siam (Siam), elemen Melayu (Zapin Bunga Hutan) dan Finale (Cuti-Cuti 1Malaysia).

Diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2010. Jika mempunyai sebarang pertanyaan sila hubungi 03-26937111 (Tel) 0326913358 (Fax) info@motour.gov.my (E-mel) http://www.motour.gov.my/ (Website)

Apa tunggu lagi mari kita memeriahkan acara tahunan ini!

0

Laman Santai : Membudayakan Budaya, Menyerikan Seni

Laman Santai yang diwujudkan oleh Istana Budaya adalah inisiatif yang sangat dipuji di mana usaha ini dilihat dapat mengekalkan khazanah kesenian dan kebudayaan negara di samping memberi peluang kepada generasi muda mengenali kesenian dan kebudayaan yang ada di Malaysia.
Laman Santai ini merupakan satu hub yang digunakan untuk memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni samada individu atau kumpulan untuk menonjolkan bakat dan berkarya. Laman Santai ini bertempat di Laman Beringin yang terletak di antara Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara berlansung setiap Sabtu bermula pada 7.45 malam sehingga 10.30 malam.

Program ini juga menyediakan tempat bagi keluarga dan anak muda untuk berkumpul dan mengenali dengan lebih dekat lagi aktiviti-aktiviti kebudayaan dan makanan tradisional Malaysia. Dengan ini dapat menyemarakkan aktiviti seni budaya di kalangan masyarakat sambil berhibur sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu pusat kesenian.

Kunjungan yang tidak disengajakan semasa penulis berstatus pelajar suatu ketika dahulu di mana penulis melakukan tugas lapangan di Laman Santai telah memberi gambaran yang sangat menarik dan ianya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Cuma ketika ini tidak dapat membuat kunjungan kerana kekangan waktu dan tugas tetapi penulis sudah memasang azam untuk membuat kunjungan semula. Ramai artis tanahair di jemput memeriahkan Laman Santai ini saban minggu. Joget lambak juga ada dipertontonkan di sini.

Melihat usaha yang telah dilakukan oleh Istana Budaya ini telah memberi penulis satu idea untuk merangka program yang sama di negeri kelahiran penulis sendiri iaitu Negeri Sembilan dan lebih 'specific' di daerah tempat penulis dibesarkan iaitu Port Dickson di mana merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular di Malaysia. Berkemungkinan ciri dan pengisian program sama tetapi ada penambahan dan kelainan yang ditonjolkan, mungkin lebih kepada program 'ala buskers', seni dan budaya tetap dikekalkan. Sudah tentunya ada jualan dan pelbagai aktiviti dirangka bagi memeriahkan program ini.

Ketika ini tiada usaha dilakukan bagi menyemarakkan seni dan budaya di destinasi pelancongan ini walhal Port Dickson merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sangat popular. Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan negeri. Jadi ini adalah usaha yang dapat membawa Negeri Sembilan ke satu tahap yang lebih jauh.

Baru-baru ini pula kerajaan tempatan iaitu Majlis Perbandaraan Port Dickson(MPPD) sudah menaiktaraf pesisir pantai Teluk Kemang dan penulis melihat pesisir itu sangat memukau dan mempesonakan. Pesisir itu di beri nama PD Walk, dan di label sebagai zon kesihatan kerana mempunyai 'jogging track'. Terdapat beberapa wakaf dan pelantar yang menarik dengan hiasan batu dan lampu yang kemilau bila menjelang malam.

Cadangan ini akan diusulkan samada kepada Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, MPPD dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Dato' Mohamad Radzi bin Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu dan juga beberapa pihak yang berminat untuk menaja program ini dan jangkaan program ini bermula masih lagi dalam pertimbangan dan masih dalam proses merangka kertas candangan. Lagi pula penulis mahu memfokuskan aktiviti seni dan budaya kepada ARMADA SENI dahulu, kerana ARMADA SENI baru sahaja bermula mungkin selepas ARMADA SENI sudah menempa kejayaan dan memperoleh pengalaman.

Sama-sama kita nantikan kemunculannya. Jika bukan kita yang menyemarak seni, Siapa lagi.

2

Sang Tari : Cerita Tentang Tarian Tradisional



Baru-baru ini sedang leka menonton TV di rumah tiba-tiba datang konsep dan idea untuk skrip terbaru, Sang Tari. Masih dalam usaha mencari idea sepanjang perjalanan cerita. Sebahagian watak telah dicipta tetapi masih belum cukup konkrit dan kuat lagi. Walaubagaimanapun tetap terus berusaha untuk merealisasikannya. Insya Allah. Doakan ya!



Cerita Sang Tari berkisarkan sekumpulan remaja yang mewakili sebuah kumpulan tari yang bersaing sesama sendiri dan juga kumpulan lain di seluruh Malaysia untuk melayakkan diri dalam pementasan drama tari yang dianjurkan oleh sebuah jabatan di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang bertajuk Sang Tari. Cerita ini memaparkan usaha anak muda dalam memartabatkan tarian tradisional yang terdapat di Malaysia dan usaha dalam mengejar impian menjadi penari tradisional yang berjaya dan disegani. Watak utamanya adalah seorang gadis yang bercita-cita tinggi untuk menjadi penari tradisional yang terunggul telah menyertai sebuah kumpulan tarian yang baru ditubuhkan, Gemalai Anak Seni. Seorang yang agak pendiam tapi agresif. Dia mula menari sejak di bangku sekolah lagi yang dulunya merupakan seorang yang sangat ceria dan periang berubah sejak kematian ibunya yang tersayang. Ibunya telah banyak memberi galakan dan tunjuk ajar dan tidak menyertai mana-mana kumpulan tarian sejak itu. Selama ini ibunya adalah idola dan tunjang utamanya dalam bidang seni tari tradisional. Setelah sekian lama barulah dia menerima pemergian ibunya dan menari demi meneruskan legasi ibunya dan meneruskan cita-citanya yang tertangguh. Apa yang diharapkan olehnya adalah dapat menyemarakkan lagi usaha dan impian ibunya.


Sang Tari menonjolkan gerak tari tradisional seperti Inang, Joget, Zapin, Masri dan semua tarian tradisional yang terdapat di Malaysia. Elemen drama, konflik dan pergolakan juga ditonjolkan bagi memberi rencah kepada penceritaan. Konflik lebih banyak berlaku di dalam kumpulan tarian Gemalai Anak Seni itu sendiri dan bagaimana watak utama menyelesaikan setiap konflik yang berlaku.

Secara konklusinya, dapat dikatakan banyak usaha yang perlu dilakukan bagi merealisasikan naskhah ini dapat dizahirkan ke layar perak. Bermula dari kostum yang cantik, muzik latar yang hebat, latar tempat yang menarik, tenaga kerja yang dedikasi serta gerak tari yang memukau. Disinilah usaha kita dalam membuktikan kepada dunia yang tarian Malaysia juga mampu mengegar dunia.

 
Copyright © Kalam Si Pujangga