0

Menelusuri Teater Dimensi Buli

Teater ini adalah karya daripada Kumpulan Kaki Teater Muda Putrajaya dengan sokongan Bahagian Pembangunan Rakan Muda. Sebuah karya dan arahan Yusrika Bahar. Manakala artistik dan koreografi oleh Muzzammil Sulaiman dan Zamani Lim. Susunan muzik oleh Nurul Aqilah Ariffin dan sinografer oleh Yousef Al-Farouk. Teater ini dibintangi oleh ahli kumpulan ini sendiri yang terdiri daripada Yousef Al-Farouk, Fahmi Mokhtar, Fazlyana, Shamil Shahlan, Faisal Mazli, Muaz Johari, Rustam, Dayangku Afizah, Syamil Azmim dan ramai lagi.

Teater ini akan dipentaskan selama 2 hari iaitu pada 31hb Disember 2010 dan 01hb Januari 2011 bermula jam 8.30 malam di Dewan Podium A, Menara KBS, Presint 4, Putrajaya di mana juga berlangsungnya Lorong Seni.
Yang menariknya tentang teater Dimensi Buli ini ia mengangkat tema dari sudut 4 cerita pendek yang digabungkan menjadi 1 kisah yang berlaku disekeliling kita. Melalui kisah ini dapat dilihat kesan dan impak Buli kepada pelajar, guru dan masyarakat sekeliling. Memperlihatkan bagaimana seseorang pelajar itu ditekan dan dibuli. Kisah yang diangkat adalah melalui 4 cerita pendek berikut iaitu :

1. Pilihan
Kisah antara seorang guru wanita dan pelajar berbalah mengenai pilihan yang harus dipilih oleh pelajar. Samada mahu memberikan jawapan yang dimahukan guru atau pilihannya sendiri. Namun, adakah pelajar ini memberikan pilihan yang betul atau sekadar menguji dan membuli gurunya?

2. Kau Suka Atau Tidak
Kisah antara seorang pelajar lelaki dan perempuan yang saling jatuh hati tapi mempersoalkan kemajuan yang sebenarnya adalah perlambangan kepada pelajar lelaki itu samada dia faham perasaan dan tanggungjawab yang harus ditanggungnya sebagai seorang lelaki. Pandangan wanita masakini yang mahukan lelaki yang mencerminkan kemajuan.

3. Kantoi
Kisah 4 orang pelajar yang suka membuli disekolah. Membuli seorang pelajar yang selama ini senyap di kelas dan tidak mahu masuk campur dengan aktiviti mereka. Disebabkan keluarga yang selalu menyumbang disekolah membuatkan mereka merasakan diri mereka adalah disiplin dan peraturan disekolah itu. Semua mesti mengikut telunjuk mereka.

4. Babak Akhir :
Kisah ini memperlihatkan kesan dan impak buli kepada pelajar. Disebabkan tekanan perasaan menyebabkan sepasang kembar ini melawan kedua ibu-bapa mereka dan kesabaran mereka meletus apabila kesemuanya mati dibunuh. Pelajar yang membuli mereka dibunuh dan juga bila tiba dirumah, kedua ibu-bapa mereka pula dibunuh.

Mengapa hal ini berlaku? Mengapa harus wujud disekolah? Sama-sama kita saksikan kisah ini melalui Teater Dimensi : Buli.

Kepada anda pecinta teater dan juga yang belum pernah menyaksikan teater apa kata anda meluangkan masa menyaksikan Teater Dimensi Buli ini. Mungkin ada sesuatu yang dapat dijadikan sebagai iktibar dan terapkan dalam kehidupan seharian kita. Teater ini membawa kita menyelami perasaan antara si pembuli dan si kena buli. Bagi remaja dan pelajar adalah sangat digalakkan menonton teater ini.

MASUK ADALAH PERCUMA.
.::Terima Kasih kepada Yusrika Bahar kerana sudi berkongsi maklumat::.
0

Sejenak untuk Armada III

Semalam sudah masuk hari yang ke-3 kami berlatih dan semalam menyaksikan kehadiran yang paling ramai. Alhamdulilah. Walaupun masing-masing tiada asas tetapi mereka menunjukkan semangat yang tinggi untuk belajar. Melihat adik-adik kecil menari, di minda penulis menjuih harap yang ARMADA SENI akan membuka peluang kepada Port Dickson di kenali semula bukan sahaja kerana destinasi percutian yang popular tetapi bakal menjadi destinasi kesenian dan kebudayaan yang terbaru. ARMADA SENI bakal dipecahkan kepada 2 kategori iaitu Senior dan Junior. Berkelopak rasa bangga di hati. Asalnya hanya menfokuskan kepada dewasa sahaja tetapi sambutan adik-adik kecil juga menggalakkan, jadi apa salah kiranya diteruskan juga.

Semalam Abang Alias tiada kerana punya urusan di di kota metropolitan. Tetapi sempat menelefon dan mengirim cerita bahawa persembahan pada awal Januari sudah rasmi kami akan terlibat. Jadi, Abang Alias memesan supaya kami mengandakan usaha. Berdebar rasa hati. Penulis bukanlah sorang guru tari jauh sekali sebagai seorang koreografer, sekadar berkongsi ilmu dan pengalaman. Bukan tidak yakin pada diri, tetapi masa sangat kesuntukan. Kebanyakan Anak-Anak Armada masih bertatih menari atau mungkin penulis perlu merencanakan strategi baru dengan memudahkan gerak tari. Kata Abang Alias kami mungkin akan terlibat dengan 3 tarian sekaligus. Bagi penulis itu perkara enteng kerana sudah biasa, cuma pada Anak-Anak Armada yang lain kerana ini adalah tugas berat buat mereka.

Ketika latihan diadakan kebanyakan ada Anak-Anak Armada yang hadir dan ada juga yang tidak dapat hadir kerana kekangan tugas. Jadi agak sukar untuk mengumpulkan mereka serentak. Setiap kali bertemu harus mengulang tari yang sama kerana ada Anak-Anak Armada yang baru ikut serta. Tidaklah bernada kecewa atau apa kerana situasi ini memerlukan penulis punya kesabaran yang melampau tingginya. Penulis tahu Anak-Anak Armada perlukan masa. Namun, apapun penulis sebagai seorang manusia hanya mampu merancang. Yang Maha Esa sahaja yang menentukan.

Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu ini.
0

Sejenak untuk Armada II

Salam pujangga buat blogwalkers yang mengikuti Kalam Si Pujangga ini, kebanyakan yang mengikuti kalam ini adalah kenalan rapat penulis sendiri tetapi ada juga yang bukan, jadi boleh kiranya jadikan kalam ini sebagai pengerat silaturahim antara kita moga akan ada ikatan antara kita yang akan terus bersaudara. Amin. Jadi, entri kali ini hanyalah bagi meneruskan coretan tentang ARMADA SENI. Sebelum itu Salam Maal Hijrah 1432 H buat kalian. Bukan apa semalam adalah hari di mana Anak-Anak Armada juga berkumpul meneruskan latihan seperti yang telah dijanjikan dan dipakatkan bersama. Alhamdullilah, walaupun baru dua hari berlatihan, sudah hampir sampai ke penghujung tarian yang penulis ajarkan. Baru satu tarian, masih banyak lagi tarian yang sedang menanti. Ada beberapa Anak-Anak Armada yang menunjukkan peningkatan yang sangat membanggakan. Cuma yang merungsingkan penulis adalah belum cukup Anak-Anak Armada yang mahu turut serta memeriahkan seni dan budaya. Tapi ada yang sudah menyatakan persetujuan sebelum latihan bermula tetapi tidak dapat hadir kerana kekangan tugas masing-masing atau hanya omongan kosong sahaja. Wallahualam. Bagaimanapun penulis tetap memohon kepada Allah s.w.t agar aktiviti ini diberkati dan dapat menarik lebih ramai lagi untuk ikut serta. Semalam juga telah menarik beberapa anak-anak kecil untuk ikut sama. Melihat perkembangan ini Insya Allah, ARMADA SENI akan berkembang dalam masa terdekat ini. Tidak kisahlah mengambil masa selama beberapa hari, atau beberapa minggu, atau beberapa bulan. Latihan semalam melihat penambahan seorang Anak Armada iaitu Emma dari Miri, Sarawak. Melihat keterujaannya penulis hanya menyimpul senyum. Cuma Fiqa tidak dapat hadir kerana tugas. Lain-lain masih sama. Jadi 10hb Disember ini, bermula 8.00 malam masih meneruskan kesinambungan latihan yang berbaki di Serambi Seni.
0

Sejenak untuk Armada

Semalam, tanggal 5hb Disember mengukir sejarah buat Armada Seni kerana buat pertama kalinya Anak-Anak Armada telah hadir dalam pertemuan yang singkat. Hati ini terdetik bahawa ini adalah permulaan bagi harapan yang akan memberi seribu makna buat semua Anak-Anak Armada. Terima kasih daun keladi yang tak terhingga di ucapkan kepada mereka. Walaupun singkat masing-masing cuba memberi buah fikiran masing-masing untuk halatuju dan masa depan Armada Seni bagi mengorak langkah dalam kesenian dan kebudayaan walau hanya bermula dengan tatihan yang pertama mungkin ini bakal mencipta sesuatu yang memberi impak positif buat diri mereka serta masyarakat khususnya, sudah tentu khasnya buat kemeriahan seni dan budaya di daerah Port Dickson sendiri yang sudah lama tidak aktif. Selain itu aktiviti berfaedah ini mungkin mampu menjana pendapatan buat semua Anak-Anak Armada. Insya Allah. Catatan ini adalah hanya sebagai rentetan kisah yang berlaku semalam. Terima Kasih juga buat Abang Alias dan Kak Uda yang murah hati menaja minuman ringan. Ringan tak ringan la, dijamunya spaghetti. Walaupun beberapa kerat sahaja yang hadir tapi ia tetap berlangsung istimewa dengan lawak jenaka dan hilai tawa dari Anak-Anak Armada yang asal, Khairul, Firdaus dan Abang Alias sendiri. Terharu juga kerana Shidi dan Fiqa juga hadir walaupun masing-masing juga ada kekangan tugas masing-masing. Demostrasi ringkas juga mencuit hati semua Anak-Anak Armada yang hadir. Pelbagai aksi dipamerkan. Lain yang di ajar, lain yang di buat. Melihat kesungguhan mereka membuat penulis sendiri berasa teruja dan bersemangat. Abang Alias juga menyatakan yang beliau begitu bersungguh agar Armada Seni terus kukuh mencipta nama dan sejarah. Serius benar Abang Alias mahu Armada Seni melakar gemilang. Sudah tentu penulis juga begitu. Jadi pertemuan kedua bakal berlangsung 7hb Disember ini di Serambi Seni. Meneruskan kesinambungan latihan yang telah diberikan semalam. Harap ada lagi Anak-Anak Armada yang lain bakal mengiring.
0

Fantasi Siti Di Alam Fantasi di Istana Budaya

Setelah 10 tahun berlalu, Siti Di Alam Fantasi ( SDAF ) karya dan arahan Aminah Rhapor yang pernah mengarah teater seperti Tanah Bernanah, Tun Mamat kembali lagi dipentaskan untuk 3 kali sebelum ini dipentaskan bersempena Pesta Flora dan Festival Kebudayaan Komanwel Kuala Lumpur ’98. SDAF diangkat dan dipentaskan kali keduanya di Istana Budaya pada 2000. SDAF merupakan teater kanak-kanak pertama yang dipentaskan di Istana Budaya dan mencatatkan sejarah penonton paling ramai mengatasi teater dewasa. Pada 2001 pengambarannya untuk penerbitan RTM 1 berlangsung dansebanyak 39 episod SDAF mula ditayangkan di televisyen sepanjang tahun 2001 dan 2002. Kini SDAF kembali semula dengan wajah baru di Istana Budaya menampilkan persembahan yang lebih segar dan mantap, sesuai dengan teknologi dan selera penonton terkini. . Buku novel bersiri SDAF juga bakal berada dipasaran. Jadi jangan lupa untuk mendapatkannya.

Untuk persembahan yang bakal berlangsung dari 22 – 31 Disember ini, Liyana Jasmay akan mengantikan Amy Mastura, selaku watak Siti. Dengan tenaga baru, Liyana Jasmay dijangka memberikan aura tersendiri buat tarikan kepada penonton yang akan menyaksikan teater ini.

Selain Liyana, antara pelakon yang akan membuai fantasi penonton nanti adalah Vanidah Imran dan Ebby Yus.

SDAF mengisahkan tentang seorang budak perempuan yang kaya raya, cantik dan manja tetapi sombong, degil serta angkuh. Bapa Siti, Tuan Malim meraikan harijadi Siti di satu majlis yang meriah, tetapi satu bayang besar dengan secara tiba-tiba mencuri geliga keturunan Siti. Rumah Tuan Malim dan semua tetamu tenggelam ke dalam tanah tetapi Siti berjaya diselamatkan Mamat, anak tukang kebun dan Andan. Gergasi Batu membuka rahsia: kekayaan datang dari tuah geliga, jika tidak dicari geliga yang dicuri, kelak papa kedana tujuh keturunan. Gergasi Batu menelan Siti, Mamat dan Andan dan dari situlah bermula pengembaraan Siti mencari geliga milik keturunannya.Akhirnya, rumah yang tenggelam, timbul semula seperti sedia kala. Pengalaman pengembaraan mengajar Siti berhati mulia, kesetiaan pengikutnya dan pengorbanan binatang lain melunturkan kesombongannya. Akhirnya Siti menyedarinya bahawa "selalu berkasih sayang, sepanjang hayat akan dikenang, kaya bukan angkuh meraja, miskin bukan hamba selama".

Bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya, SDAF, akan berfantasi dari 22 – 31 Disember 2010 pada 8.30 malam, setiap hari. Tiket-tiket berharga RM 30, RM 50 dan RM 150. Tiket-tiket boleh didapati di kaunter tiket ‘Box Office’ Istana Budaya atau pun secara dalam talian di http://www.ticket2u.biz/.

SDAF dibawakan oleh Istana Budaya, agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Jadi marilah kita menonton fantasi si Siti ini.

Anda juga boleh kunjungi laman sesawang berikut jika mahu maklumat lanjut:

Istana Budaya : www.istanabudaya.gov.my/web/guest/siti

Facebook : http://www.facebook.com/#!/pages/Siti-Di-Alam-Fantasi-the-Musical/169065429785616

Sesi Rehearseal SDAF:

0

Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-19

Baru-baru ini telah berlansungnya penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke-19 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mengiktiraf karya-karya terbitan 2008 dan 2009. Majlis itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sedikit pengenalan tentang Hadiah Sastera Perdana Malaysia adalah pengiktirafan dwitahunan yang diberikan ke atas karya sastera Melayu pelbagai genre yang memperlihatkan mutu penciptaan yang tinggi. Pengiktirafan ini dikenali sebagai Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Antara matlamat hadiah ini adalah untuk menggalakkan penciptaan dan penerbitan karya sastera bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu, dan mengiktiraf karya yang telah mencapai tahap mutu yang membanggakan.


Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) telah mula diwujudkan pada tahun 1971 dengan nama Hadiah Karya Sastera. Nama ini diguna pakai sehingga 1976 apabila diberi penamaan semula. Pada tahun 1981-1995, hadiah ini dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia. Bermula tahun penilaian 1996/97, hadiah ini dinaikkan taraf dan diberikan nama baru sesuai dengan prestij yang ditonjolkan. Semenjak itu ianya dikenali dengan nama Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi mandat dan amanah oleh Kerajaaan Pusat untuk menyelenggarakan hadiah sastera ini.

HSPM merupakan hasil penilaian karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang telah disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku, atau karya yang dipentaskan, (bagi skrip drama); dalam tempoh penilaian iaitu setiap dua tahun sekali. Ianya dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, A,B dan C.

Kategori A terbitan berbentuk buku seperti novel, kumpulan cerpen, puisi, drama, esei/kritikan sastera, kajian sastera dan biografi/autobiografi. Hadiah yang disediakan untuk setiap kategori ini ialah RM 10,000.00. Kategori B merupakan karya eceran seperti puisi, cerpen, esei sastera dan drama. Hadiah untuk kategori ini sebanyak RM 1,000 setiap satu. Manakala hadiah untuk kategori C sebanyak RM 5,000 setiap satu bagi genre novel remaja, kumpulan cerpen, puisi dan drama remaja. Kumpulan novel, cerpen, puisi dan drama kanak-kanak juga tergolong dalam kategori ini.



KATEGORI A


(BUKU DEWASA)


KATEGORI B


(KARYA ECERAN)


KATEGORI C


(BUKU REMAJA/


KANAK-KANAK)


Karya perseorangan yang diterbitkan dalam bentuk buku pada tahun penilaian bagi genre:



· Novel


· Cerpen


· Puisi


· Drama Pentas


· Esei dan Kritikan Sastera


· Kajian Sastera


· Biografi/Autobiografi



Karya perseorangan yang disiarkan dalam surat khabar, majalah, jurnal atau buku (antologi) pada tahun penilaian bagi genre:



· Cerpen


· Puisi


· Drama Pentas


· Esei/Kritikan/Kajian Sastera



Karya perseorangan yang diterbitkan dalam bentuk buku pada tahun penilaian bagi genre:



· Novel


· Cerpen


· Puisi


· Drama Pentas


SYARAT DAN PERATURAN


1. Penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia.


2. Karya hendaklah diterbitkan atau disiarkan pertama kali dalam tahun penilaian (2008 dan 2009), sama ada dalam bentuk buku atau eceran.


3. Bagi genre drama pentas Kategori B, karya hendaklah disiarkan atau dipentaskan pertama kali dalam tahun penilaian. Penilaian akan dibuat berdasarkan skrip asal berserta gambar atau bahan promosi pementasan (poster, brosur atau buku cenderamata) sebagai bukti pementasan.


4. Bagi Kategori C, karya sastera remaja ialah karya sastera untuk bacaan remaja dalam lingkungan umur 13-18 tahun, manakala karya sastera kanak-kanak ialah karya sastera untuk bacaan kanak-kanak dalam lingkungan umur 9-12 tahun.


5. Bagi karya berbentuk buku dalam Kategori A dan C hendaklah mempunyai nombor rujukan ISBN atau KDN.


6. Setiap judul karya, sama ada buku atau eceran, hendaklah dihantar dalam empat naskhah karya asli atau salinan fotokopi yang jelas dan dijilid kemas.


7. Pihak penganjur tidak bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau kehilangan karya semasa penghantaran. Bukti penghantaran tidak boleh dijadikan bukti penerimaan penyertaan.


HSPM pada kali ini menyaksikan Kategori A dalam kategori Novel dimenangi oleh Malim Ghozali PK berjudul Daun, Kumpulan Cerpen oleh Osman Ayub berjudul Bayangan Silam. Dr Hatta Azad Khan pula memenangi Kumpulan Drama dengan judul Teater Tiga Muzikal, Kajian Sastera dimenangi oleh Jelani Harun dengan judul Undang-Undang Kesultana Melayu dalam Perbandingan. Kategori A Biografi/Autobiografi pula dimenangi Wan Mokhtar Ahmad berjudul Muzakkirah:Sebuah Autoboigrafi Suku Abad Menerajui Kerajaan Terengganu.


Bagi Kategori B menyaksikan 10 pemenang bagi kategori Cerpen iaitu Azizi Abdullah dengan judul Manto Tangkap Toman, Nimoiz TY dengan judul Batu Niah dan Harapan, Chai Loon Guan pula dengan cerpennya berjudul Di Perantauan Impian. Husna Nazri (Nostalgia Ramadan), Mohd Hashim Othman (Perempuan-Perempuan Yang Bertandang), Mawar Shafie (Sedang Malaikat Berdoa), Ghazali Lateh (Segugus Kyuho Untuk Cikgu), Mohd Ali Salim (Fort Margherita), Nisah Haron (Lemang Nan Sebatang) dan Shahnon Ahmad (Kepikunan).


Kategori B puisi pula dimenangi oleh Mohamad Shaidan berjudul Gunung Itu, Baha Zain berjudul Apabila Menulis Puisi, Roslan Jomel berjudul Patrick. Air Yang Kuminum nukilan Anwar Ridwan juga penerima kategori ini selain Siti Zaleha M. Hashim (Wau), Ramlan Abdul Wahad (Gunung Ararat), Abizai (Tidak Semua Bertemu Mutiara), Rosani Hiple (Perempuan Cahaya), Raihani Mohd Said (Negeri Itu) dan S.M Zakir (Aroma).


Dalam kategori Drama pula Wan Ahmad Ismail dengan judul drama Penunggu, Hatta Azad Khan dengan judul Along dan Kak Long serta Bukan Dejavu karya Ismail Kassan.


Kategori Esei/Kritikan Sastera pula meyaksikan 7 karya yang tersenarai sebagai pemenang iaitu Shahnon Ahmad (Nikmat dan Bala Berdaya Cipta), Mohd Yusof Hassan (Pemikiran Shahnon Ahmad:Dari Desa ke Persada Antarabangsa), Siti Hawa Salleh (Kesusasteraan Melayu Tradisional dalam Teori Sastera Moden), Noriah Salim (Di Sebalik Kebijaksanaan Tun Sri Lanang), Lokman Abdul Samad (Wahui, Genre Pantun Suluk di Sabah), Anwar Ridhwan (Arah dan Cabaran Perjuangan Penulis Muda) dan Arbak Othman (Metarasa Puisi Kemala Syurga ke Sembilan).


Dalam kategori C pula menyenaraikan Kusyi Hirdan memenangi Novel kanak-Kanak dengan judul Umairah dan Kuda Putih, Kumpulan Puisi Kanak-kanak pula dimenangi oleh Anis dengan judul Dari Jendela Terbuka:Sejambak Puisi Kanak-Kanak dan Kumpulan Puisi Remaja dimemangi oleh Nawawee Mohammad dengan judul Umpama Mutiara.


Hadiah Sastera Mastera kali adalah yang ke-6 sejak ditubuhkan pada 1996 di mana diwujudkan bagi membina dan mengembangkan kerjasama serantau dalam sastera Melayu/Indonesia. Ini adalah salah satu program Nusantara, sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi Mastera. Hadiah Sastera Mastera kali ini menyaksikan Brunei dengan judul Tawaduk Musim Sujud karya oleh Mohd Salleh Abdul Latif, Indonesia pula D. Zawai Imron dengan judul Kelenjar Laut dan Malaysia pula menjadi milik Shahnon Ahmad dengan judul Mahabbah.

0

Pesta Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia kembali lagi!

Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan akan menganjurkan acara pesta Tarian Cuti-cuti 1Malaysia pada 5 Disember ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang bakal menyaksikan penyertaan 10,000 orang daripada seluruh negara bagi mencatatkan rekod sebagai acara tarian dengan penyertaan teramai di Malaysia dalam Malaysia Book of Records (MBR). Tarian Cuti-cuti 1Malaysia merupakan hasil gabungan beberapa tarian termasuk tarian Cina, India, Melayu serta tarian etnik dari Sabah dan Sarawak.



Fiesta ini mempamerkan tarian masyarakat majmuk Malaysia yang pelbagai. Ia memberi gambaran kekayaan budaya dan warisan 1Malaysia. Terdapat 9 koleksi tarian yang bakal dipersembahkan iaitu Overture (Malaysia Truly Asia), elemen Cina (Man Chang Fei), elemen Sabah (Jambatan Tamparuli), elemen India (Paattu Paadavaa), elemen Sarawak (Puteri Santubong), elemen Orang Kita (Sewang), elemen Siam (Siam), elemen Melayu (Zapin Bunga Hutan) dan Finale (Cuti-Cuti 1Malaysia).

Diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2010. Jika mempunyai sebarang pertanyaan sila hubungi 03-26937111 (Tel) 0326913358 (Fax) info@motour.gov.my (E-mel) http://www.motour.gov.my/ (Website)

Apa tunggu lagi mari kita memeriahkan acara tahunan ini!

 
Copyright © Kalam Si Pujangga