Sejenak untuk Armada VI
Semalam juga penulis sudah cuba memberi sedikit asas kepada inang dan sedikit asas kepada joget. Melalui undian, kebanyakan mereka mahu terus mempelajari joget kerana agak mudah bagi mereka. Penulis tersenyum di dalam hati. Masih lagi baru dan tidak sampai pun separuh lagu lagi. Keseluruhannya, perlu banyak lagi latihan. Mereka ada azam dan semangat jadi tidak mustahil untuk mampu menari joget dengan baik, dan mungkin juga inang kerana bagi penulis sendiri inang lebih mudah untuk dipelajari.
Abang Alias menyatakan hasrat agar mereka ini sekurang-kurangnya mampu menari 5 tarian iaitu tarian pembukaan (Overture Dia Datang), tarian selingan (Zapin, Inang, Joget) dan tarian penutup (Malaysia Truly Asia). Baiklah. Insya Allah mereka mampu mengegar ruang seni dan budaya di Port Dickson. Kata Abang Alias lagi 1 hari dalam bulan January akan di adakan showcase untuk Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan. Masih belum pasti tarikhnya bila. Ini adalah platform untuk Armada Seni untuk berkembang. Menanti dengan penuh debar dan sabar.
Malam ini ada lagi latihan lanjutan untuk joget, dan mungkin sedikit inang, atau mungkin juga sedikit overture dia datang. Dan mengemaskan lagi zapin yang di ajar. Kemungkinan besar mereka mahu menunjuk-nunjuk kehebatan mereka di hadapan beberapa senior yang sudah beberapa minggu tidak hadir. Biar mereka berasa cemburu.
Jadikan nantikan entri yang berikutnya. Wassalam.
Sejenak untuk Armada V
Joget Si Kaduk Junjung, bakal menjadi tarian signature untuk ARMADA SENI. Dalam kepala penulis sudah ada beberapa langkah dan ragam yang bermain-main di minda. Tetapi masih tidak punya idea untuk menyatukannya menjadi satu koreografi yang menarik. Iyalah... seperti yang penulis katakan sebelum ini, penulis sendiri bukanlah guru tari bahkan juga koreografer tetapi mengajar berdasarkan pengalaman. Harap ada keajaiban yang berlaku. Insya Allah.
Kata Ina, penari cilik ARMADA SENI, ragam awal yang penulis berikan tempoh hari dalam latihan Isnin lalu, agak susah. Katanya lagi joget yang beliau belajar sebelum ini lebih mudah dan senang untuk belajar. Bagaimanalah agaknya penulis mahu memudahkan ragam dan langkah untuk mereka ini?
Perbincangan melalui telefon dengan Shidi, penari Senior ARMADA SENI sebentar tadi agar penulis cuba memberi langkah atau ragam yang lebih mudah. Penulis sekadar cuma mengangguk walaupun Shidi di hujung talian tidak dapat melihat. Keadaan ini memerlukan keazaman dan kesungguhan yang tinggi untuk melatih mereka ini. Ya Allah, Moga Engkau berikan aku kekuatan dan semangat yang tinggi untukku melatih mereka ini. Insya Allah.
Sejenak untuk Armada IV
Manakala penari senior, beberapa penari lelaki punya potensi dan punya pilihan tetapi penari perempuannya tiada. Bukan maksudnya tiada potensi tetapi pilihan yang ada sangat terhad. Namun ada peluang cerah kerana sudah ada penambahan ahli baru. Walaubagaimanapun, hanya dapat hadir latihan setakat awal minggu hadapan selepas itu bercuti bersama keluarga ke Sabah. Punya 'posture' badan yang cantik, juga cantik orangnya. Peluang cerah untuk berkembang kerana masih muda. Sangat cepat mengaplikasikan ragam yang di beri. Cuma perlu beberapa hari lagi untuknya menghimpun ke semua ragam dan mengaplikasikannya dengan baik.
Untuk memulakan kumpulan yang kecil sudah ada, tetapi masing-masing perlu meningkatkan usaha untuk menempatkan diri dalam 6 penari terbaik untuk diserapkan ke dalam kumpulan yang bakal melakukan persembahan. Apa yang sangat dibanggakan penulis sekarang ARMADA SENI sudah punya 2 kumpulan iaitu Junior dan Senior.
Tiba-tiba terfikir untuk merangka strategi baru untuk penari cilik yang mungkin agak lambat mengadaptasikan ragam. Jumpa lagi Isnin ini.
Jom Sertai Hari Terbuka KLPac 2011!
PERHATIAN…
PELAKON, PENGARAH, PENARI, KOREOGRAFER, PEMUZIK, PENYANYI, ARTIS VISUAL, PEMBIKIN FILEM ATAU SESIAPA SAJA PENGAMAL SENI..
Jadilah sebahagian daripada Hari Terbuka KLPac 2011!
23 January, 10am – 5pm
Hari Terbuka KLPAC adalah program sehari di mana festival seni kreatif yang sarat dengan persembahan, lawatan, demostrasi, bengkel, ceramah, pameran dan tayangan filem. Lebih menarik lagi acara ini dikendalikan oleh sukarelawan. Kakitangan KLPac, Urusetia Hari Terbuka dan aktivis seni tidak sama sekali menerima sebarang bayaran, apatah lagi pengunjung juga tidak dikenakan sebarang bayaran untuk menyertainya sambil menikmati aktiviti yang disajikan untuk anda.
Fikirkanlah di mana satu hari yang tiada halangan. Wang adalah bukan keutamaan. Dan di mana karnival yang menyajikan kesenian tempatan yang pasti menyeronokkan untuk dinikmati bersama. Kepada Pengunjung Pertama Kali! Hari Terbuka KLPac pada 2009 mencatat seramai 6000 pengunjung, jadi ini adalah peluang kepada anda untuk mempromosikan seni anda juga.
Saya Nak Ikut Serta! Bagaimana mahu menempah slot?
E-mail Rosheen (rosheenfatima@gmail.com) dan Ian (ian@klpac.org) nama anda, email dan nombor telefon & keterangan aktiviti
Saya bukan aktivis seni tapi saya juga mahu membantu…
Muat turun fail PDF HERE untuk mengetahui cara bagaimana anda boleh membantu.
Maklumat lanjut sila kunjungi http://www.klpac.org/Welcome.asp?c=whatsonpromotionsview&promoID=156&promocatID=5
Tandakan kalender anda:
23. 01. 2011
Konsert Permata Seni: “Menggilap Bakat Muda, Menyerlah Rentak Bangsa”
Saksikan manifestasi kecemerlangan seni yang dizahirkan menerusi muzik, koir dan tari persembahan khas anak-anak yang diasuh dan digilap menerusi program PERMATA Seni. Lebih 150 orang kanak-kanak menampilkan pelbagai rentak lagu dengan seleksi lagu-lagu yang digubah khas untuk konsert ini, rekaan tari yang memukau dan persembahan muzik kanak-kanak yang terbaik di negara kita. Jom, sama-sama kita memberikan sokongan kepada mereka.
Sejak dilancarkan 11 Januari lalu, program Permata Seni semakin bergiat aktif dalam melatih kanak-kanak yang kecenderungannya lebih kepada bidang seni.
Mempunyai Permata Seni Tari, Permata Seni Muzik dan terbaru Permata Seni Koir, ketiga-tiga bidang ini berkongsi objektif yang sama iaitu bertujuan untuk memperkembang dan seterusnya menyerlahkan potensi kanak-kanak yang cemerlang di dalam bidang vokal atau seni suara, tarian dan mainan alat muzik melalui program pembelajaran dan bimbingan yang sistematik dengan penekanan kepada kecemerlangan bakat.
Kini selepas lebih 10 bulan dilancarkan, buat pertama kali bakat kanak-kanak yang menyertai program ini dipertontonkan kepada khalayak menerusi persembahan khas iaitu Konsert Permata Seni di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 dan 15 Disember ini.
Disertai seramai 174 kanak-kanak dan remaja berusia antara 6 hingga 15 tahun, konsert bertemakan Menggilap Bakat Muda, Menyerlah Rentak Bangsa itu nanti dijangka menjadi medan ujian kepada kanak-kanak terbabit sebelum memberi mereka peluang untuk beraksi di luar negara di bawah program yang serupa.
“Sebelum ini mereka (kanak-kanak) pernah membuat pelbagai persembahan dan penampilan khas antaranya di dalam konsert Rossa – Melodi Cinta, Sesame Street Live In Malaysia, dan juga 1st Ladies Summit serta pembabitan dalam Konsert Semai Bakti. Ketika persembahan pada 1st Ladies Summit, ramai delegasi yang memuji mereka dan dari situ ada cadangan untuk membawa ke luar negara.
“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam pertimbangan. Jika mereka berjaya menampilkan persembahan memuaskan hati, ditambah dengan adanya peruntukan daripada kerajaan atau swasta, tidak mustahil untuk saya membawa kanak-kanak ini membuat persembahan di luar negara,” kata Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung program itu ketika menyempurnakan majlis pelancaran Konsert Permata Seni yang berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya.
Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli.
Katanya, konsert itu juga akan menjadi kayu pengukur sama ada ia akan diadakan acara tahunan atau tidak.
“Mungkin ia dijadikan acara tahunan ataupun dua tahun sekali,” katanya.
Mengulas perjalanan konsert yang bakal berlangsung itu, Rosmah berkata, ia diadakan selama 90 minit ini dan dibahagikan kepada tiga segmen yang menyerlahkan kecemerlangan kanak-kanak terbabit dalam bidang masing-masing.
“Segmen Permata Seni Tari menampilkan persembahan yang menggabungkan lima koreografi tari pelbagai kaum. Semua tarian ini digarap khas untuk konsert ini.Segmen Permata seni Koir pula menampilkan lima pilihan lagu koir.
“Manakala Segmen permata Seni Muzik akan menampilkan empat susunan lagu secara orkestra dan solo klasikal. Kemuncak konsert ialah gabungan ketiga-tiga Permata Seni menerusi rangkaian lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.
Untuk pementasan tertutup pada 15 Disember ini, sebanyak 1,400 kad jemputan sudah pun diedarkan kepada orang kenamaan.Antara yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Manakala untuk orang ramai pula, mereka boleh mendapatkan lebih 1,300 tiket percuma di Istana Budaya,’kata Rosmah.
Pada majlis pelancaran itu, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan Tarian Ketam bangkang, nyanyian koir kain Pelekat serta persembahan muzik Mozart divertimento in F oleh kanak-kanak Permata Seni.
Sumber: Arkib Berita Harian (9hb Disember 2010) Oleh Farihad Shalla Mahmud : farihad@bharian.com.my
Siapa Mahathir dalam Muzikal Tun Mahathir?
KARYA seni adalah interpretasi dan bukan memindahkan realiti. Maka definisi realiti dalam konteks sesebuah karya seni adalah satu interpretasi.
Kerana itu apabila menghasilkan filem JFK mengenai J.F Kennedy, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang mati dibunuh, pengarah Oliver Stone tidak memilemkan sejarah tragedi pembunuhan Kennedy. Tetapi Oliver Stone menginterpretasi tragedi yang menjadi misteri hingga kini.
Dalam kerja-kerja mengadaptasi kisah hidup tokoh-tokoh tertentu, fakta memang penting tetapi bukan kayu ukur karya itu. Oliver Stone mengadaptasi kisah tragedi kemudian memberikan interpretasi daripada sudut pemikirannya. Mengangkat laluan hidup seorang tokoh kepada medium seni, tidak kira filem atau teater bukanlah mengangkat biografinya. Semua orang tahu tentang biografi, tetapi teater atau filem mesti melihat sesuatu yang luar biasa daripada rentetan hidup tokoh berkenaan.
Karya seni bukanlah tayangan slide yang membawa kita melihat semula perkara-perkara yang lepas. Karya seni adalah sudut pemikiran yang diinterpretasi daripada sesuatu tragedi atau tokoh. Maka sebab jugalah Richard Nixon satu-satunya bekas Presiden AS yang paling banyak difilemkan tetapi semuanya melihat Nixon daripada sudut pemikiran dan pandangan yang berbeza.
Baru-baru ini Istana Budaya mementaskan Muzikal Tun Mahathir arahan Rosminah Tahir dan naskhah skrip oleh Ismail Kasan. Sebenarnya “memuzikalkan” bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah suatu hal yang agak pelik. Sebabnya banyak fragmen dalam laluan tokoh ini tidak boleh dimuzikalkan. Kalau dimuzikalkan juga, tidak sampai kepada penonton. Tetapi yang lebih ketara kehebatan Dr. Mahathir hilang dalam belitan fragmen-fragmen hidup beliau yang semuanya hendak dibawa ke pentas.
Selepas sekian banyak teater muzikal dipentaskan dan beberapa kisah hidup tokoh, kemuncaknya tentang Dr. Mahathir. Ini membuatkan kita bertanya, beginikah kualiti pemikiran sebuah teater muzikal? Biarlah kira bercakap tentang kualiti pemikiran, bukan kualiti kreatif kerana teknologi di Istana Budaya memungkinkan segala mimpi dapat dizahirkan. Tetapi jangan lupa teknologi dipandu oleh karyawan yang ada pemikiran besar lagi tajam.
Janganlah bersedih apabila Muzikal Tun Mahathir menenggelamkan tokoh yang hendak diangkat. Sebabnya pengarah dan penulis tidak memilih apa yang perlu diangkat dan tidak berani memberikan sudut pandangan mereka. Muzikal ini lebih kepada menyalin biografi Dr. Mahathir ke pentas tanpa merentasi proses adaptasi. Kita hendak melihat sudut pandangan karyawan terhadap pemikiran Dr. Mahathir menerusi banyak keputusan-keputusan kontroversial yang dilakukannya. Tetapi muzikal ini lebih cenderung menyapu di lapisan atas tentang Dr. Mahathir dan cuba menjadi “buku sejarah” kepada penonton. Kita kena menerima hakikat bahawa teater atau filem tidak boleh mengambil peranan buku sejarah.
Kontroversial
Dr. Mahathir adalah tokoh dunia yang pernah kita miliki. Dr. Mahathir juga seorang yang penuh kontroversial, relung kehidupan peribadi dan politik penuh warna. Terlalu banyak perkara-perkara besar yang dibuat demi nusa ini walaupun pada penuh kontroversi.
Sebagai tokoh negara bertaraf dunia, semua laluan hidup Dr. Mahathir sudah diketahui umum. Siapa yang tidak tahu kisah hidup seorang perdana menteri ini? Jadi, yang penting tentang Dr. Mahathir bukanlah kisah hidupnya tetapi menyelongkar karakter dan pemikiran Dr. Mahathir.
Apa perlunya babak awal yang menghabiskan masa penonton dengan sia-sia tentang kelahiran Dr. Mahathir dan zaman kanak-kanaknya? Kalau mengikut formula menonton teater, 15 minit pertama adalah indikator kepada keseluruhan pementasan. Maka muzikal ini telah memberikan isyarat kehilangan tempo dramatik apabila mengambil pendekatan kronologi.
Saya ada terbaca, produksi ini banyak menekankan bahawa muzikal ini berpandukan kepada fakta. Memanglah mengangkat seorang tokoh mesti mengikut fakta tetapi bukan fakta saja yang penting. Kerana mementingkan fakta muzikal ini menjadi helaian slide. Apa pentingnya babak wartawan Utusan, Rosnah Majid mewawancara Dr. Mahathir dalam studio? Babak ini sangat “kering”. Saya sangat mengagumi Rosnah tetapi watak Rosnah tidak memberi makna dalam muzikal ini.
Peristiwa-peristiwa besar yang dibuat Dr. Mahathir disentuh secara sepintas lalu. Lihatlah bagaimana muzikal ini mengangkat peristiwa Mahathir dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul, Rahman malah yang paling besar di tangan Dr. Mahathir UMNO diharamkan tetapi dapat diselamatkan. Apakah interpretasi penulis skrip dan pengarah kepada peristiwa besar kepada seluruh umat Melayu itu?
Apalah malangnya teater muzikal kita, peristiwa yang sarat dengan sentuhan kemanusiaan apabila Dr. Mahathir mengumumkan perletakan jawatan diganggu oleh footage di skrin? Penonton hendak menonton footage dari slot berita televisyen itu atau menonton lakonan di atas pentas dan mencari sejauh manakah kemampuan pengarah memahami peristiwa itu?
Nasib baik muzikal ini banyak diselamatkan oleh kesungguhan pelakon yang rata-ratanya bukan terdidik oleh disiplin teater. Pelakon Esma Daniel (Dr. Mahathir) dan Erra Fazira (Dr. Siti Hasmah) misalnya kelihatan cemerlang. Keterampilan lakonan kedua-dua pelakon ini bukanlah disebabkan mirip personaliti yang dilakonkan tetapi penghayatan yang tinggi kepada watak. Tahniah Esma Daniel dan Erra.
Maka benarlah kata bapa teater moden, Henrik Ibsen (1828 - 1906) bahawa cabaran paling hebat seorang seniman bukanlah untuk menghasilkan karya yang besar tetapi mampu atau tidak menyatakan sudut pemikiran yang besar.
Kekecewaan penonton terhadap Muzikal Tun Mahathir (walaupun semua ulasan memuji) mesti segera diubati. Caranya karyawan perlulah berfikir lebih hebat atau sama dengan khalayaknya. Menilai teater bukanlah daripada aspek struktural semata-mata tetapi apa yang dirasa semasa menontonnya. Saya tetap percaya penonton lain juga merasai hal yang sama biarpun mereka tidak tahu mengenai teater.
Manfaatkan peruntukan seni, kreativiti
Daripada apa yang telah kita lihat terutama sekali di televisyen, saya hanya ingin tahu apakah drama-drama yang dipertontonkan kepada kita seperti cerita-cerita seram, kurafat dan ilmu hitam dianggap kreatif.
Kalau tidak cerita-cerita begini, kita juga dipertontonkan dengan kononnya cerita orang korporat fitnah memfitnah, pecah amanah sehingga pembunuhan pun diselitkan.
Drama-drama yang menonjolkan kekayaan orang Melayu dengan rumah besar, kereta besar dan anak-anak remaja yang tidak mendengar cakap emak bapa dipaparkan.
Kalau di panggung wayang, tak habis-habis dengan cerita seram komedi atau pun cerita lumba kereta. Kalau ada cerita yang buat duit sikit tentunya akan disusuli dengan sekuel macam Cicakman yang bahagian keduanya tak tentu arah plotnya semata-semata untuk menunjukkan komputer grafiknya dan menunggang atas penerimaan baik bahagian pertamanya.
Jelas kurang tumpuan diberikan kepada jalan cerita dan plotnya. Ada kalanya kita perhatikan pelakon-pelakon terkenal yang ada nama melakukan perkara-perkara yang merepek.
Datuk Jalaluddin Hasan sekejap jadi Presiden bandar, sekejap jadi Presiden negara dalam filem Cicakman. Lihatlah Yasin dalam filem Duyung jadi beruk. Apa signifikannya Yasin jadi teman kepada Saiful Apek dalam bentuk demikian?
Cubalah kita lihat filem Hindustan bertajuk My Name is Khan yang menceritakan tentang seorang Islam yang terpaksa melalui pelbagai rintangan dalam kehidupannya sehinggakan sikap diskriminasi orang Amerika Syarikat itu menyebabkan anaknya terbunuh.
Latar belakang filem itu ialah semasa World Trade Center dilanggar kapal terbang oleh pengganas pada 11 September 2001. Khan yang peranannya dilakonkan oleh Shah Rukh Khan ialah seorang autistik yang ingin berjumpa Presiden Amerika Syarikat dan menyatakan yang dia bukan seorang pengganas.
Walaupun sifat rasis rakyat kulit putih ditonjolkan dalam filem itu, Khan telah bersusah payah membantu mangsa taufan yang melanda Atlanta pada masa itu sehingga pihak media mereka memberikan liputan atas usaha beliau itu. (Presiden Bush dikatakan lambat memberikan pertolongan pada masa itu kerana ramai daripada mangsa tersebut terdiri daripada orang kulit hitam).
Cerita orang Islam berdepan dengan sikap diskriminasi rakyat Amerika ini memang terkenal dan plot cerita sebegini memang menarik. Kenapa kita tidak terfikir melakukan filem sedemikian.
Saya sanjung mereka yang membentangkan cerita Mahathir dalam bentuk teater muzikal tetapi apa yang lebih tepat untuk Mahathir ialah dalam bentuk filem yang boleh menunjukkan pelbagai kontroversi yang dihadapinya semasa dia menjadi Perdana Menteri.
Cabaran daripada Tengku Razaleigh sehingga UMNO diisytiharkan haram, ucapan-ucapan Mahathir yang banyak memperjuangkan rakyat Palestin dan kutukan beliau kepada kerajaan zionis Yahudi.
Begitu juga semasa Persidangan Negara-negara Islam (OIC) di Malaysia menaikkan kemarahan orang Arab dan Asia Barat kerana mereka tidak mahu bertindak sepakat mengatasi masalah penindasan Yahudi di Palestin. Begitu juga dengan keputusan beliau menerima pelajar Bosnia untuk belajar di sini.
Tidak kurang juga kutukan yang diterimanya kerana keengganannya menerima bantuan daripada IFC dan Bank Dunia semasa krisis kewangan 1998 dulu. Mahathir memperkenalkan tambatan ringgit dengan Dolar Amerika sebanyak RM3.80 dan mengenakan kawalan modal atas duit yang keluar masuk.
Mahathir tidak berganjak walaupun gelombang kritikan terhadap tindakan beliau begitu global. Akhirnya bijak pandai luar menerima tindakan yang beliau ambil adalah sesuatu yang wajar.
Begitu juga keputusan mengejut beliau berhenti daripada semua jawatan dalam kerajaan dan dalam UMNO. Rafidah Aziz orang pertama yang memujuk beliau untuk meneruskan perjuangan. Lepas dia berhenti, dia bertelagah juga dengan Rafidah Aziz atas isu AP.
Kekecewaan yang beliau lahirkan terhadap perlantikan Abdullah Badawi dan kritikan atas tindakan-tindakan beliau sehinggakan beliau keluar daripada UMNO. Tidak ada lagi kejutan yang lebih besar daripada itu. Cerita Mahathir ini boleh dikeluarkan dalam pelbagai bahasa untuk pasaran dunia.
Agaknya orang Melayu tidak berminat cerita-cerita yang menonjolkan kewibaan seorang tokoh negara sedemikian. Orang Melayu lebih suka dilalaikan dengan cerita-cerita seperti Jangan Pandang Belakang dan cerita-cerita yang berbentuk sedemikian kerana sekali buat duit, tentu kali kedua boleh buat duit juga.
Kreativiti bukan semestinya tertakluk kepada kebolehan menggunakan pelbagai kesan visual dan kesan khas seperti Avatar atau Puteri Gunung Ledang yang mana silat Hang Tuah bukan lagi seperti silat biasa (terbang sana terbang sini macam cerita Kung Fu Cina) dan keadaan beliau yang hampir sasau teringatkan Puteri Gunung Ledang. Masa bila yang Hang Tuah sasau dengan Puteri Gunung Ledang?
Saya harap orang-orang seni dan bidang kreativiti seperti Lat the Kampung Boy dan Upin dan Ipin dan ramai lagi yang lain dapat memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diberi sebanyak RM200 juta itu. Begitu juga bidang permainan video yang bernilai berbilion dolar. Ruang untuk remaja kita dilatih dalam bidang ini luas terbuka.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)