Jelajah Apresiasi Seni UiTM ke sekolah

Arkib Utusan Malaysia : 20hb November 2011, Sabtu

ARAU 19 Okt. - Sekumpulan pelajar Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan program Jelajah Apresiasi Seni bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai kursus berkenaan kepada para murid sekolah.

Lapan pelajar yang diketuai oleh Pengarah Projek, Muhd. Firdaus Ibnul Hajar memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sheikh Ahmad di sini sebagai sasaran untuk memperkenalkan kursus berkenaan.

Seramai 27 murid sekolah yang terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh perempuan menyertai program berkenaan yang lebih tertumpu mengenai 'orang kuat' di sebalik tabir dalam kerja-kerja seni di negara ini.

Menurut Muhd. Firdaus, pelajar UiTM yang terlibat merupakan mereka yang mengambil mata pelajaran Pengurusan Acara dan Festival.

"Lazimnya masyarakat mempunyai tanggapan apabila disebut mengenai seni ia membabitkan pelakon atau penari tetapi mereka tidak mengetahui bahawa di sebalik sesuatu hasil seni ada individu yang bertanggungjawab di belakang tabir," katanya.

Dia berkata, melalui program berkenaan para pelajar UiTM berharap lebih ramai masyarakat terutama ibu bapa dan murid sekolah terbuka minda untuk memilih program tersebut sebagai jurusan pengajian.

Selain itu, visi kumpulan ini yang turut dibantu oleh Persatuan Pelajar Artistik Kreatif (CASA) adalah untuk memperluaskan jaringan dan perhubungan padu antara universiti dengan masyarakat luar.

"Ini adalah untuk menonjol dan memelihara serta mengekalkan kebudayaan dan kesenian yang kita miliki sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Selain itu, melalui program berkenaan ia dapat mempromosi Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik bagi setiap aktiviti pelajar dengan lebih luas dan memastikan setiap penglibatan adalah berkesan demi kepentingan dan perpaduan pelajar.

Antara aktiviti yang dianjurkan bersama-sama murid sekolah berkenaan adalah pengenalan mengenai program penulisan dan skrin, pengurusan industri dan program seni lakon.

Fakulti berkenaan menawarkan program diploma dalam bidang artistik skrin, penulisan artistik, teater dan pengurusan seni.

Bagi program ijazah pula ia turut menawarkan semua program berkenaan termasuk pengurusan seni kreatif, teknologi skrin dan animasi.

Selain itu, fakulti berkenaan turut menawarkan program ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga