Konsert Permata Seni: “Menggilap Bakat Muda, Menyerlah Rentak Bangsa”

Saksikan manifestasi kecemerlangan seni yang dizahirkan menerusi muzik, koir dan tari persembahan khas anak-anak yang diasuh dan digilap menerusi program PERMATA Seni.

Lebih 150 orang kanak-kanak menampilkan pelbagai rentak lagu dengan seleksi lagu-lagu yang digubah khas untuk konsert ini, rekaan tari yang memukau dan persembahan muzik kanak-kanak yang terbaik di negara kita. Jom, sama-sama kita memberikan sokongan kepada mereka.

Sejak dilancarkan 11 Januari lalu, program Permata Seni semakin bergiat aktif dalam melatih kanak-kanak yang kecenderungannya lebih kepada bidang seni.

Mempunyai Permata Seni Tari, Permata Seni Muzik dan terbaru Permata Seni Koir, ketiga-tiga bidang ini berkongsi objektif yang sama iaitu bertujuan untuk memperkembang dan seterusnya menyerlahkan potensi kanak-kanak yang cemerlang di dalam bidang vokal atau seni suara, tarian dan mainan alat muzik melalui program pembelajaran dan bimbingan yang sistematik dengan penekanan kepada kecemerlangan bakat.

Kini selepas lebih 10 bulan dilancarkan, buat pertama kali bakat kanak-kanak yang menyertai program ini dipertontonkan kepada khalayak menerusi persembahan khas iaitu Konsert Permata Seni di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 dan 15 Disember ini.

Disertai seramai 174 kanak-kanak dan remaja berusia antara 6 hingga 15 tahun, konsert bertemakan Menggilap Bakat Muda, Menyerlah Rentak Bangsa itu nanti dijangka menjadi medan ujian kepada kanak-kanak terbabit sebelum memberi mereka peluang untuk beraksi di luar negara di bawah program yang serupa.

“Sebelum ini mereka (kanak-kanak) pernah membuat pelbagai persembahan dan penampilan khas antaranya di dalam konsert Rossa – Melodi Cinta, Sesame Street Live In Malaysia, dan juga 1st Ladies Summit serta pembabitan dalam Konsert Semai Bakti. Ketika persembahan pada 1st Ladies Summit, ramai delegasi yang memuji mereka dan dari situ ada cadangan untuk membawa ke luar negara.

“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam pertimbangan. Jika mereka berjaya menampilkan persembahan memuaskan hati, ditambah dengan adanya peruntukan daripada kerajaan atau swasta, tidak mustahil untuk saya membawa kanak-kanak ini membuat persembahan di luar negara,” kata Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung program itu ketika menyempurnakan majlis pelancaran Konsert Permata Seni yang berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya.

Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli.

Katanya, konsert itu juga akan menjadi kayu pengukur sama ada ia akan diadakan acara tahunan atau tidak.

“Mungkin ia dijadikan acara tahunan ataupun dua tahun sekali,” katanya.
Mengulas perjalanan konsert yang bakal berlangsung itu, Rosmah berkata, ia diadakan selama 90 minit ini dan dibahagikan kepada tiga segmen yang menyerlahkan kecemerlangan kanak-kanak terbabit dalam bidang masing-masing.

“Segmen Permata Seni Tari menampilkan persembahan yang menggabungkan lima koreografi tari pelbagai kaum. Semua tarian ini digarap khas untuk konsert ini.Segmen Permata seni Koir pula menampilkan lima pilihan lagu koir.

“Manakala Segmen permata Seni Muzik akan menampilkan empat susunan lagu secara orkestra dan solo klasikal. Kemuncak konsert ialah gabungan ketiga-tiga Permata Seni menerusi rangkaian lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Untuk pementasan tertutup pada 15 Disember ini, sebanyak 1,400 kad jemputan sudah pun diedarkan kepada orang kenamaan.Antara yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Manakala untuk orang ramai pula, mereka boleh mendapatkan lebih 1,300 tiket percuma di Istana Budaya,’kata Rosmah.

Pada majlis pelancaran itu, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan Tarian Ketam bangkang, nyanyian koir kain Pelekat serta persembahan muzik Mozart divertimento in F oleh kanak-kanak Permata Seni.

Sumber: Arkib Berita Harian (9hb Disember 2010) Oleh Farihad Shalla Mahmud : farihad@bharian.com.my

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga