'TER' satu halusinasi, emosi belia

Arkib Utusan Malaysia: 9hb November 2010


Namun, pemain wataknya adalah sekumpulan belia kaum India yang meneroka seni teater kontemporari dalam melahirkan belia berbudaya 1Malaysia.

Karakter inilah yang diadun melalui teater bertajuk 'TER' yang diilhamkan dalam membentuk jati diri golongan belia khususnya di kalangan kaum India di negara ini.

Inilah penyampaian yang cuba dibawa Pengarah 'TER', Mohd. Shafri Othman, 46, dalam melentur karakter baru belia India dari Kelab Bell Belia Tamil Rahang di sini.

Katanya, 'TER' merupakan satu eksperimental ke atas pemain watak yang keseluruhannya adalah belia India dan ia merupakan teater tanpa skrip di mana semua penyampaian yang dibuat itu adalah spontan sesuai dengan tajuk teater itu sendiri.

''Tajuk 'TER' menggambarkan sesuatu yang tidak disengajakan, ia tiada sinopsis dan hanya penonton yang datang pada hari pertunjukkan 14 November ini bermula pukul 3 petang sahaja akan merasai kejutan demi kejutan yang dibawa oleh pemain watak di kalangan belia India ini," katanya ketika di temui di sini, kelmarin.

Tambah Mohd. Shafri, ini adalah kali pertama belia India diajak mempelopori teater kontemporari kerana sebelum ini teater tradisional sekadar memperlihatkan satu kebiasaan dan kurang diminati belia berkenaan.

''Konotasi yang dimaksudkan adalah satu penyatuan budaya dengan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu kerana belia India melihat penyatuan bangsa itu boleh dicapai dengan keagungan bahasa Melayu menerusi medium teater dan budaya ini," ujarnya yang juga Penasihat Kelab Bell Belia Tamil Rahang.

Katanya, sebelum ini belia India terkurung dalam kotak sendiri khususnya apabila melibatkan seni dan budaya, justeru penampilan berani kumpulan pemain watak dalam 'TER' pastinya memberi pengharapan baru untuk mereka menjadi pelapis dalam seni lakonan teater.

''Dalam 'TER' kita mempunyai sembilan orang pemain watak iaitu empat perempuan dan lima lelaki. Masing-masing akan meluahkan emosi dalaman dengan gerakan badan.

''Ia mempunyai watak negatif, positif selain kecelaruan dalam masyarakat hari ini. Kesemua ini diadun dengan baik untuk memperlihatkan impak terhadap kewujudan manusia sebagai penanggung fitrah dan hendaklah kembali kepada fitrah itu demi kesatuan bangsa," tegasnya.

Jelasnya 'TER' turut memperlihatkan kesediaan kumpulan kecil belia India untuk menghuraikan polemik perkauman dengan olahan yang dibawa dalam kelainan teater bercorak improvisasi (tanpa dialog) itu.

''Nyata belia India hari ini sudah bersedia melalui transformasi dalam kehalusan seni dan melakukannya secara berani dengan harapan ia dapat disertai keseluruhan belia secara holistik.

''Menjadi pengarah teater 'TER' merupakan satu kepuasan baru. Saya tidak membezakan istilah 'kaum' dalam menurunkan pendapat dan ilmu, sebaliknya melihat belia India sebagai aset baru dalam seni teater," katanya.

Teater 'TER' akan dipentaskan di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan negeri pada 14 November ini bermula 3 petang dengan didahului pengucapan puisi di kalangan tokoh sastera, pemikir, pengkritik, sejarawan dan penulis.

Kumpulan yang memainkan watak teater 'TER' juga akan membuat persembahan di Indonesia pada Januari depan melalui jemputan Sekolah Tinggi Seni Indonesia, Bandung.

''Teater 'TER' banyak kejutan, tanpa skrip, tiada dialog tetapi ada pengucapan bahasa Melayu. Ia adalah luahan emosi. Lihatlah persembahan mereka pada 14 November ini," kata Mohd. Shafri.

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga