Manfaatkan peruntukan seni, kreativiti

Arkib Utusan Malaysia: 1hb November 2010
BELANJAWAN 2011 memperuntukan RM200 juta untuk kerja-kerja berkaitan kesenian dan bidang kreatif. Saya rasa ini tentu melegakan ramai pihak yang terbabit dengan bidang penghasilan kerja-kerja kesenian seperti pembuatan filem dan kerja-kerja kreatif

Daripada apa yang telah kita lihat terutama sekali di televisyen, saya hanya ingin tahu apakah drama-drama yang dipertontonkan kepada kita seperti cerita-cerita seram, kurafat dan ilmu hitam dianggap kreatif.

Kalau tidak cerita-cerita begini, kita juga dipertontonkan dengan kononnya cerita orang korporat fitnah memfitnah, pecah amanah sehingga pembunuhan pun diselitkan.

Drama-drama yang menonjolkan kekayaan orang Melayu dengan rumah besar, kereta besar dan anak-anak remaja yang tidak mendengar cakap emak bapa dipaparkan.

Kalau di panggung wayang, tak habis-habis dengan cerita seram komedi atau pun cerita lumba kereta. Kalau ada cerita yang buat duit sikit tentunya akan disusuli dengan sekuel macam Cicakman yang bahagian keduanya tak tentu arah plotnya semata-semata untuk menunjukkan komputer grafiknya dan menunggang atas penerimaan baik bahagian pertamanya.

Jelas kurang tumpuan diberikan kepada jalan cerita dan plotnya. Ada kalanya kita perhatikan pelakon-pelakon terkenal yang ada nama melakukan perkara-perkara yang merepek.

Datuk Jalaluddin Hasan sekejap jadi Presiden bandar, sekejap jadi Presiden negara dalam filem Cicakman. Lihatlah Yasin dalam filem Duyung jadi beruk. Apa signifikannya Yasin jadi teman kepada Saiful Apek dalam bentuk demikian?

Cubalah kita lihat filem Hindustan bertajuk My Name is Khan yang menceritakan tentang seorang Islam yang terpaksa melalui pelbagai rintangan dalam kehidupannya sehinggakan sikap diskriminasi orang Amerika Syarikat itu menyebabkan anaknya terbunuh.

Latar belakang filem itu ialah semasa World Trade Center dilanggar kapal terbang oleh pengganas pada 11 September 2001. Khan yang peranannya dilakonkan oleh Shah Rukh Khan ialah seorang autistik yang ingin berjumpa Presiden Amerika Syarikat dan menyatakan yang dia bukan seorang pengganas.

Walaupun sifat rasis rakyat kulit putih ditonjolkan dalam filem itu, Khan telah bersusah payah membantu mangsa taufan yang melanda Atlanta pada masa itu sehingga pihak media mereka memberikan liputan atas usaha beliau itu. (Presiden Bush dikatakan lambat memberikan pertolongan pada masa itu kerana ramai daripada mangsa tersebut terdiri daripada orang kulit hitam).

Cerita orang Islam berdepan dengan sikap diskriminasi rakyat Amerika ini memang terkenal dan plot cerita sebegini memang menarik. Kenapa kita tidak terfikir melakukan filem sedemikian.

Saya sanjung mereka yang membentangkan cerita Mahathir dalam bentuk teater muzikal tetapi apa yang lebih tepat untuk Mahathir ialah dalam bentuk filem yang boleh menunjukkan pelbagai kontroversi yang dihadapinya semasa dia menjadi Perdana Menteri.

Cabaran daripada Tengku Razaleigh sehingga UMNO diisytiharkan haram, ucapan-ucapan Mahathir yang banyak memperjuangkan rakyat Palestin dan kutukan beliau kepada kerajaan zionis Yahudi.

Begitu juga semasa Persidangan Negara-negara Islam (OIC) di Malaysia menaikkan kemarahan orang Arab dan Asia Barat kerana mereka tidak mahu bertindak sepakat mengatasi masalah penindasan Yahudi di Palestin. Begitu juga dengan keputusan beliau menerima pelajar Bosnia untuk belajar di sini.

Tidak kurang juga kutukan yang diterimanya kerana keengganannya menerima bantuan daripada IFC dan Bank Dunia semasa krisis kewangan 1998 dulu. Mahathir memperkenalkan tambatan ringgit dengan Dolar Amerika sebanyak RM3.80 dan mengenakan kawalan modal atas duit yang keluar masuk.

Mahathir tidak berganjak walaupun gelombang kritikan terhadap tindakan beliau begitu global. Akhirnya bijak pandai luar menerima tindakan yang beliau ambil adalah sesuatu yang wajar.

Begitu juga keputusan mengejut beliau berhenti daripada semua jawatan dalam kerajaan dan dalam UMNO. Rafidah Aziz orang pertama yang memujuk beliau untuk meneruskan perjuangan. Lepas dia berhenti, dia bertelagah juga dengan Rafidah Aziz atas isu AP.

Kekecewaan yang beliau lahirkan terhadap perlantikan Abdullah Badawi dan kritikan atas tindakan-tindakan beliau sehinggakan beliau keluar daripada UMNO. Tidak ada lagi kejutan yang lebih besar daripada itu. Cerita Mahathir ini boleh dikeluarkan dalam pelbagai bahasa untuk pasaran dunia.

Agaknya orang Melayu tidak berminat cerita-cerita yang menonjolkan kewibaan seorang tokoh negara sedemikian. Orang Melayu lebih suka dilalaikan dengan cerita-cerita seperti Jangan Pandang Belakang dan cerita-cerita yang berbentuk sedemikian kerana sekali buat duit, tentu kali kedua boleh buat duit juga.

Kreativiti bukan semestinya tertakluk kepada kebolehan menggunakan pelbagai kesan visual dan kesan khas seperti Avatar atau Puteri Gunung Ledang yang mana silat Hang Tuah bukan lagi seperti silat biasa (terbang sana terbang sini macam cerita Kung Fu Cina) dan keadaan beliau yang hampir sasau teringatkan Puteri Gunung Ledang. Masa bila yang Hang Tuah sasau dengan Puteri Gunung Ledang?

Saya harap orang-orang seni dan bidang kreativiti seperti Lat the Kampung Boy dan Upin dan Ipin dan ramai lagi yang lain dapat memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diberi sebanyak RM200 juta itu. Begitu juga bidang permainan video yang bernilai berbilion dolar. Ruang untuk remaja kita dilatih dalam bidang ini luas terbuka.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

0 comments:

 
Copyright © Kalam Si Pujangga